Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas menzahirkan rasa kesal dan memandang serius pendedahan bahawa minuman beralkohol telah dihidangkan dalam satu majlis makan malam sempena acara Global Travel Meet, yang tersenarai dalam itinerari rasmi program Tourism Malaysia.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, alasan yang diberikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bahawa majlis tersebut merupakan “inisiatif pihak industri dan swasta” adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“Apabila sesuatu majlis telah dimuat naik dalam laman sesawang rasmi Tourism Malaysia dan dijadualkan sebagai sebahagian daripada program rasmi, maka kerajaan melalui Tourism Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kandungan majlis tersebut,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, menghidangkan arak dalam mana-mana majlis rasmi kerajaan bukan sahaja melanggar Pekeliling Perbendaharaan yang jelas melarang penyediaan minuman keras dalam keraian rasmi, malah bercanggah dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan.

“Bagaimana majlis kerajaan boleh menghidangkan minuman yang jelas haram dalam Islam?” soal beliau sambil merujuk pandangan Mufti Wilayah Persekutuan dalam Irsyad Hukum Siri ke-224 yang menyatakan adalah haram bagi umat Islam menghadiri majlis yang menghidangkan arak.

Ahmad Fadhli menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang memalukan dan mencalarkan sensitiviti umat Islam, khususnya ketika rakyat sedang memberi tumpuan terhadap isu kemanusiaan seperti keselamatan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).

“Tindakan ini mencerminkan kegagalan Menteri Pelancongan menjaga sensitiviti umat Islam. Malah ini bukan kali pertama beliau berdepan isu seumpama ini,” tambahnya.

Sehubungan itu, Pas mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas dengan memecat Menteri Pelancongan serta-merta.

“Tindakan ini penting bagi memulihkan keyakinan rakyat dan menjaga kehormatan Islam sebagai agama rasmi negara,” katanya lagi.

Majlis makan malam berkenaan sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas tular dakwaan bahawa minuman beralkohol dihidangkan secara terbuka dalam acara yang dimasukkan dalam agenda rasmi Tourism Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast