GAZA/ ISTANBUL – Serangan udara dan bedilan Israel pada Sabtu mengorbankan 70 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, termasuk wanita dan kanak-kanak, meskipun Israel mendakwa telah mengurangkan operasi ketenteraan terhadap orang awam, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Peningkatan pertumpahan darah yang berterusan ini membongkar pembohongan dakwaan kerajaan penjenayah perang Netanyahu mengenai pengurangan operasi ketenteraan terhadap orang awam yang tidak berdaya,” kata Hamas dalam satu kenyataan.
Pergerakan itu menggesa masyarakat antarabangsa serta negara-negara Arab dan Islam supaya menunaikan “tanggungjawab” undang-undang dan kemanusiaan mereka dengan melindungi rakyat Palestin, menyalurkan bantuan, serta meningkatkan tekanan untuk menamatkan “perang pemusnahan” dan kebuluran selama dua tahun di Gaza.
Menurut kenyataan Pejabat Media Gaza, tentera Israel melancarkan 93 serangan udara yang mengorbankan 70 orang, termasuk 47 di Bandar Gaza.
Kejadian itu berlaku sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggesa Israel pada Jumaat supaya “menghentikan pengeboman Gaza serta-merta” selepas Hamas mengumumkan kesediaannya untuk membebaskan tawanan Israel di bawah cadangan gencatan senjatanya, sambil menyatakan beliau percaya pergerakan itu “bersedia untuk keamanan berkekalan.”
Mesir mengumumkan pada Sabtu bahawa ia akan menjadi tuan rumah kepada delegasi Israel dan Hamas pada Isnin bagi membincangkan butiran pertukaran tawanan sebagai sebahagian daripada pelan Trump untuk menamatkan perang di Gaza.
Trump membentangkan pelan 20 perkara pada 29 Sept, termasuk pembebasan tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan Israel, gencatan senjata, dan pelucutan senjata Hamas.
Tel Aviv menganggarkan terdapat 48 tawanan Israel masih berada di Gaza, termasuk 20 yang masih hidup. Sementara itu, Israel menahan sekitar 11,100 rakyat Palestin, ramai antara mereka berdepan penyeksaan, kelaparan dan pengabaian perubatan, menurut kumpulan hak asasi manusia Palestin dan Israel.
Sejak Oktober 2023, pengeboman Israel telah meragut lebih 67,000 nyawa rakyat Palestin di Gaza, dan sebahagian besar infrastruktur telah musnah sama sekali.
— BERNAMA-ANADOLU
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















