KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyindir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berhubung penafian bahawa tiada minuman alkohol dihidangkan dalam satu majlis rasmi kerajaan.
Khairy dalam hantaran di Instagram menyifatkan penafian King Sing itu sebagai satu pembohongan.
“Liar, liar, pants on fire,” tulisnya secara sinis.
Sindiran Khairy tidak terhenti di situ. Dalam satu lagi kenyataan, beliau mengungkap peribahasa popular dengan menyindir kedudukan King Sing sebagai menteri.
“Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama tak jadi menteri,” katanya.
Khairy turut memuat naik satu jemputan rasmi bagi Majlis Gala Night Dinner dan Launch Ceremony Global Travel Meet 2025, yang menurutnya dianjurkan oleh Tourism Malaysia, agensi di bawah kementerian berkenaan.
Jemputan itu menyatakan bahawa Tiong King Sing merupakan tetamu kehormat yang akan menyempurnakan majlis tersebut yang berlangsung di Sunway Resort Hotel pada 1 Oktober lalu.
Sebelum ini, Tiong menafikan dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, bahawa minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan. Beliau menjelaskan bahawa majlis tersebut merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta, manakala Tourism Malaysia hanya menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua setengah hari.
Mas Ermieyati sebelum itu mendakwa minuman keras telah dihidangkan dalam satu majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal.
Selain Mas Ermieyati, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Mohd Akmal Salleh dan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahaya, turut mengecam penganjuran majlis makan malam tersebut.
Pihak kementerian bagaimanapun tidak memberi sebarang maklum balas terhadap pertanyaan media dalam kumpulan aplikasi WhatsApp berhubung kenyataan Khairy itu. – MalaysiaGazette

















Very stupid statement by minister, as official function involves Gov representative, no ARAk should be serve, this arrogant minister should be terminated immediately.