KAJANG – Seorang lagi mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang disahkan meninggal dunia hari ini, menjadikan jumlah korban dalam kejadian tersebut meningkat kepada dua orang.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 48 tahun yang juga seorang penjawat awam.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 11 pagi, 5 Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada media hari ini.
Menurut Naazron, jenazah mangsa kini berada di Unit Forensik Hospital Kajang dan akan diserahkan kepada keluarga selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
Dalam kejadian pada pagi 25 September lalu, kemalangan yang berlaku telahpun menyebabkan seorang bayi berusia setahun maut, manakala lapan lagi cedera.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Rakaman video pada papan pemuka yang tular berhubung kejadian terbabit berdurasi 33 saat mendapat perhatian umum apabila memaparkan detik-detik sebelum kejadian, termasuk saat pelanggaran berlaku.
Dalam video itu kelihatan jelas pemandu lori melompat keluar dari kenderaan yang sedang bergerak laju, jauh sebelum kenderaan berat itu merempuh plaza tol berkenaan tanpa kawalan.
Kejadian itu membabitkan sebuah lori tiga tan, Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam, Honda City serta Proton X70. – MalaysiaGazette
















