Muhammad Amin Fahmi
KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dinasihatkan supaya merujuk
dahulu kepada ketua jabatan kerajaan sebelum melaksanakan program melibatkan kementeriannnya.
Malah, menteri berkenaan juga seharusnya lebih sensitif dan memahami akan peruntukkan Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi Nasional Dewan Perniagaan dan Industri Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI), Muhammad Amin Fahmi berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, agama dan budaya penuh harmoni dan saling menghormati di antara satu sama lain.
Disebabkan itu, menteri harus menunjukkan contoh terbaik yang melambangkan identiti Malaysia.
Beliau yang mengulas mengenai penganjur Global Travel Meet 2025 Gala Dinner yang dilaporkan menghidangkan arak secara terbuka kepada para tetamu dalam satu majlis pada awal bulan ini berkata, tindakan ini bukanlah amalan terbaik yang wajar ditonjolkan oleh Kerajaan Madani.
Lebih ironi, katanya, majlis tersebut melibatkan agensi-agensi kerajaan dan mendakwa kejadian yang melibatkan arak ini telah berulang kali berlaku.
“Perlu diingat setiap tindak tanduk menteri diperhatikan oleh negara-negara luar. Apakah imej negatif yang jelas sekali bercanggah dengan norma budaya masyarakat Malaysia ingin ditonjolkan oleh menteri?
“Sebaiknya rujuk dahulu kepada ketua jabatan kerajaan sebelum program berlangsung. Bukan bersikap defensif setelah kesalahan terbukti jelas dan nyata,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Muhammad Amin berkata, MIICCI berharap agar semua pihak dapat menghormati prinsip rukun negara yang menjadi asas
kepada keharmonian Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast