Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilam (AMK) menggesa siasatan dalaman dijalankan susulan penganjuran Global Travel Meet 2025 Gala Dinner yang dilaporkan menghidangkan arak secara terbuka kepada para tetamu.

Naib ketuanya, Nabil Halimi berkata, tindakan proaktif akan membuktikan komitmen kerajaan tegas dalam isu yang melibatkan nilai, adab serta tatakelola pentadbiran.

“Sehingga kini, tidak ada sebarang permohonan maaf yang dikemukakan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Datuk Seri Tiong King Sing) sebaliknya, kenyataan yang diberikan bersifat defensif dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

“Ini bukanlah contoh kepimpinan yang bertanggungjawab apatah lagi dari seorang menteri yang diberi amanah untuk mewakili kerajaan Madani. Ia turut memperlihatkan kegagalan pihak kementerian dalam pengawalan dan pengurusan acara rasmi,” katanya menerusi kenyataan.

Nabil berpendirian, majlis yang dihadiri menteri dan agensi kerajaan sepatutnya tidak membenarkan hidangan minuman keras secara terbuka sekalipun dianjurkan oleh pihak swasta kerana ia mencerminkan kegagalan memahami sensitiviti agama dalam negara ini.

“Ia mencerminkan kegagalan memahami sensitiviti budaya, agama dan nilai masyarakat Malaysia Madani yang berteraskan prinsip adab dan hormat,” ujarnya.

Terdahulu, memberi respon kepada insiden majlis berkenaan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zakarshi berkata, penganjur Global Travel Meet 2025 Gala Dinner pasti tidak akan menyediakan minuman keras sekiranya pihak itu menerima nasihat.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan penjelasan King Sing bahawa acara majlis makan malam sempena persidangan itu ditaja pihak industri dan swasta amat cetek.

King Sing pada Sabtu lalu menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menguruskan program yang dianjur selama dua hari setengah bukan acara makan malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast