Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum membuat keputusan muktamad berkaitan dengan permohonan cadangan pembinaan bangunan setinggi 60 tingkat di kawasan Bukit Damansara.
Sebaliknya, DBKL masih lagi dalam peringkat memproses permohonan ini.
Menurutnya, DBKL telah menerima permohonan bagi cadangan pelan susun atur untuk cadangan perdagangan di atas tiga lot tanah yang berkeluasan 7.98 ekar.
Jelas DBKL, Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang telah diwartakan pada 28 Mei 2025 telah menetapkan kriteria yang boleh dipertimbangkan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat teknikal perancangan dan pelawaan pandangan awam mengikut Kaedah 3, iaitu, pemberitahuan mendapatkan pandangan.
“Cadangan sesuatu pemajuan juga masih lagi tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat teknikal seperti Traffic Impact Assessment (TIA), Geoteknik, Environmental Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA) dan
lain-lain aspek teknikal yang berkaitan.
“Selain itu, pematuhan terhadap ulasan dan syarat yang dikemukakan oleh agensi teknikal lain seperti Tenaga
Nasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan agensi berkaitan lain juga perlu dipatuhi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, sebarang keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas proses libat urus dan penelitian teknikal yang komprehensif dilaksanakan.
Malah, DBKL menegaskan setiap keputusan berkaitan pembangunan bandar sentiasa berpaksikan kepada dasar sedia ada dan pelan pembangunan yang diwartakan.
DBKL, tambahnya, komited memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Lumpur dilakukan secara teratur,
mampan serta tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.
Baru-baru ini, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif memberi penjelasan mengapa Bukit Damansara bukan lagi kawasan larangan pembangunan pencakar langit.
Katanya, perkara itu timbul apabila DBKL didakwa mengeluarkan peta baharu hingga membenarkan bangunan pencakar langit dibina di kawasan itu.
“Dulu saya pun ada tanah dekat sini, tapi sudah dijual, bila saya nak bangunkan, saya diberitahu kawasan ini ada had ketinggian, kerana ada Istana Negara, jiran kita adalah Yang di-Pertuan Agong.
“Tetapi peta baharu dikeluarkan DBKL dengan ajaib, saya tak pasti macam mana boleh berlaku, keseluruhan baris ini (Jalan Semantan) sudah tiada dalam kawasan had ketinggian.
“Keseluruhan baris ini di sebelah kiri Jalan Semantan, ada Wisma Damansara yang dulunya pejabat MIDA dan bangunan lama termasuk CIMB, semua itu berada di bawah kawasan had ketinggian.
“Kita tak boleh bina bangunan pencakar langit, tapi bawah peta baharu, kawasan tidak lagi kawasan larangan dibangunkan pencakar langit,” ujar Khairy Jamaluddin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast