Kumarasan menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas, selepas sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Pasangan kekasih antara empat ahli sindiket yang ditahan dan 14 kilogram dadah bernilai RM168,108 dirampas dalam beberapa serbuan di sekitar daerah ini, Selasa lalu.

Serbuan tersebut yang dilakukan bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada pukul 2 petang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mereka yang ditahan itu berumur antara 24 hingga 41 tahun dan berjaya merampas 14 kg dadah jenis heroin dan syabu.

“Tangkapan pertama membabitkan pasangan kekasih berumur 24 dan 29 tahun yang juga penagih di Nusa Bistari. Susulan itu tangkapan kedua dibuat terhadap seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun bersama-sama dadah jenis syabu seberat 0.3 gram di Bukit Indah.

“Susulan risikan daripada tangkapan terbabit, tangkapan ketiga yang juga dalang sindiket pengedaran dadah berjaya diberkas di rumah kedai Gelang Patah, yang menjadi tempat penyimpanan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.

Katanya, menerusi serbuan ketiga pula menjumpai lebih 13 kg heroin dan 1.1 kg syabu, nilai rampasan dadah bagi ketiga-tiga serbuan itu berjumlah RM168,108.

Tambah beliau, sebuah kereta Honda Civic bernilai RM24,000 disita manakala jumlah sitaan dan rampasan keseluruhan adalah RM192,108.

Menurut Kumarasan, sindiket berkenaan aktif sejak Mei lalu dan menjual dadah secara bersemuka dan bukan secara dalam talian.

Ujanya, hasil saringan urin, kesemua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Mengikut nilai pasaran satu kilogram dadah dijual pada harga sekitar RM10,000. Sekiranya terlepas ke pasaran, dadah ini boleh diguna 28,000 penagih.

“Kita masih menyiasat sumber mana dadah ini diperolehi. Suspek direman sehingga esok,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast