Foto FB FAM.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa badan induk itu masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman berkata, proses rayuan hanya dapat dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan tersebut diterima secara rasmi.

“Pasukan guaman FAM telah bersedia untuk mengambil sebarang tindakan lanjut sejurus dokumen berkenaan diperoleh.

“Sebaik sahaja keputusan penuh diterima, pasukan guaman FAM akan mengemukakan rayuan dengan dokumen sokongan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan di Facebook FAM di sini hari ini.

Pada 26 September lalu, Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Antara pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FAM didapati telah menyerahkan dokumen yang dipalsukan ketika membuat semakan kelayakan dengan FIFA bagi membolehkan tujuh pemain terbabit diturunkan ketika aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web rasmi FIFA turut memaklumkan pihaknya telah menerima aduan berkenaan kelayakan lima pemain selepas tamat perlawanan tersebut.
Selepas membuat penilaian terhadap semua bukti, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan denda 350,000 francs (RM1.8 juta).
Dalam pada itu tujuh pemain yang terlibat didenda 2,000 francs (iaitu RM10,400) setiap seorang.
Pada masa sama, mereka turut digantung 12 bulan daripada menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak berkuat kuasa serta-merta.
Isu kelayakan pemain yang terbabit untuk mewakili Malaysia dirujuk ke Tribunal Bola Sepak FIFA bagi pertimbangan lanjut.
Pemakluman berkenaan keputusan itu sudah dimaklumkan kepada FAM dan permain yang terlibat yang mana tempoh 10 hari diberikan bagi meminta penjelasan bertulis atau mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA yang akan tamat malam ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast