KUALA LUMPUR – Tindakan tidak bertanggungjawab penganjur Global Travel Meet 2025 Gala Dinner yang dilaporkan menghidangkan arak secara terbuka kepada para tetamu dalam satu majlis pada awal bulan ini adalah penghinaan terhadap Islam dan ancaman kepada identiti negara yang meletakkan Islam sebagai agama negara.
Walaupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menafikan penglibatan langsung Tourism Malaysia dalam penyediaan makanan dan minuman, majlis tersebut tetap berlaku di bawah nama acara rasmi negara yang membawa nama Global Travel Meet Malaysia 2025.
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menegaskan sebarang cubaan untuk menormalisasikan arak atas alasan “acara pelancongan antarabangsa” adalah tindakan menjual kehormatan Islam kepada budaya liberal Barat.
Presidennya, Shuhaib ar-Rumy Selamat berkata, Malaysia adalah tanah air umat Islam yang telah dipelihara dengan darah dan sejarah perjuangan umat.
Oleh itu, tindakan provokosi seperti ini adalah pengkhianatan terhadap pengorbanan generasi pejuang terdahulu dalam memelihara agama Islam di negara ini.
Bahkan, Isma mengingatkan seluruh agensi kerajaan dan swasta bahawa negara ini berdiri atas dasar Islam dan maruah bangsa Melayu-Muslim.
Lantaran itu, badan bukan kerajaan ini menyeru umat Islam agar bersatu sebagai sebuah ummah bagi mempertahankan kehormatan agama ini dan menolak sebarang bentuk pelancongan, hiburan atau acara rasmi yang mencemar hukum Allah.
“Tindakan tegas mesti diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan besar ini. Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan kerana ini jelas mecemar kesucian agama Islam dan sensitiviti umatnya,” ujarnya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette
















