Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

 

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin meminta rakyat  Malaysia supaya tidak tidak bersikap ‘lebih Hamas daripada Hamas’.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mempersoalkan apakah maslahah atau kepentingan negara yang menyebabkan kerajaan sanggup berkompromi membenarkan Presiden Donald Trump, menjejakkan kaki ke Malaysia.

Ini kerana Trump dianggap antara individu yang membenarkan genosid berlaku di Gaza.

“AS ialah pihak yang sebenarnya mampu menghentikan kekejaman Israel. Tetapi Presiden Trump ketika itu membiarkan genosid berlaku di Gaza.

“Jadi, apakah kepentingan yang membuatkan kita sanggup berkompromi untuk membenarkan seorang ‘penjenayah perang’ datang ke tanah air kita?” soal Wan Ahmad Fayhsal.

Beliau turut menyindir Trump mempunyai banyak kes mahkamah dan merupakan individu yang memberi ruang kepada Israel bertindak sewenang-wenangnya.

Namun kata Mohamad Alamin dalam jawapan balasnya menegaskan, Malaysia sentiasa konsisten dalam memperjuangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa namun tidak perlu keterlaluan sehingga melebihi pendirian Hamas sendiri.

“Janganlah kita jadi “lebih Hamas daripada Hamas”. Pendekatan Malaysia ialah mencari jalan pendampingan dan penyelesaian damai di Palestin,” tegasnya dengan penuh sindiran.

Beliau menjelaskan, Kerajaan Malaysia sentiasa berpegang pada prinsip diplomasi dan hubungan antarabangsa yang seimbang, termasuk dengan kuasa besar dunia demi memastikan suara dan perjuangan Palestin terus didengari di pelbagai platform antarabangsa.

“Kita menyokong apa jua inisiatif yang membawa ke arah keamanan di Palestin. Tapi jangan sampai kita bertindak melebihi pihak yang kita sokong. Objektif kita ialah membantu rakyat Palestin, bukan mencetuskan ketegangan baharu,” katanya lagi.

Beliau juga menyebut, isu ini tidak wajar diperbesar-besarkan, apatah lagi melibatkan spekulasi mengenai kedatangan mana-mana individu ke Malaysia.

“Soal jemput Trump atau siapa pun itu belum timbul. Tapi saya faham keresahan Ahli Yang Berhormat. Namun biarlah kita realistik, jangan lebih-lebih daripada Hamas sendiri,” katanya disambut tawa beberapa ahli dewan.

Mohamad Alamin menegaskan, Malaysia kekal tegas dalam mengutuk kekejaman rejim zionis dan menyokong hak rakyat Palestin untuk bebas dan merdeka, namun pendekatannya kekal berasaskan diplomasi, bukan konfrontasi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast