Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – Pertikaman lidah antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN- Kota Bharu) telah mencetuskan suasana panas di Dewan Rakyat hari ini.

Perbalahan tercetus apabila kedua-duanya berbahas mengenai isu integriti Jabatan Peguam Negara (AGC) dan pemisahan kuasa.

Takiyuddin mempersoalkan sama ada kerajaan bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dua isu yang didakwa mencemar imej AGC.

“Yang pertama, dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) serta isu titah adendum Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Adakah kerajaan akan mencadangkan penubuhan RCI untuk menyiasat perkara ini yang telah menjejaskan integriti Jabatan Peguam Negara?” soal beliau.

Menjawab persoalan itu, Azalina menjelaskan, kerajaan tidak dapat mengulas lanjut kerana perkara tersebut berisiko menjadi subjudis.

Namun, beliau berkata, prinsip integriti tidak boleh dilihat hanya dari sudut kedudukan Peguam Negara semata-mata.

“Integriti bukan hanya untuk Peguam Negara. Ia terpakai kepada semua, sama ada dalam kerajaan, politik atau mana-mana institusi lain.

“Kerajaan Madani bukan kerajaan yang hanya pandai beretorik, tidak seperti waktu Yang Berhormat (Takiyuddin) menjadi menteri undang-undang pada tahun 2020. Masa itu banyak bercakap tentang pemisahan kuasa tapi tiada pelaksanaan.

“Itulah perbezaan antara mereka dan kami. Kami melaksanakan apa yang kami janji. Dia hanya bercakap tanpa tindakan. We walk the talk,” katanya.

Kenyataan itu mencetuskan reaksi Takiyuddin yang segera mendakwa Azalina cuba berpolitik dan mengelak daripada menjawab soalan dengan jelas.

“YB main politik. Jawab sahaja soalan. Soalan saya mudah. Tolong jawab. Kalau tak nak jawab, cakap sahaja,” tegasnya.

Susulan itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah mencelah bagi menenangkan keadaan dan meminta semua ahli Parlimen mengekalkan disiplin pada awal sidang.

“Saya baru ‘engkol motor’ nak jalan perlahan-lahan rupa-rupanya pakai RXZ pula. Belum sejam sidang mula, sudah panas. Simpan tenaga dulu baru hari pertama bersidang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast