Tragedi tanah runtuh di Graberg Block Cave di Lombong Grasberg, Papua

JAKARTA – Selepas sebulan, pasukan respons pantas mengesahkan penemuan tiga mayat pekerja lombong susulan tanah runtuh di Grasberg Block Cave )GBC),  Lombong Grasberg, Papua yang berlaku 8 September lalu.

Presiden Pengarah FT Freeport Indonesia (PTFI), Tony Wenas dalam kenyataannya berkata, tiga mayat tersebut dikeluarkan pada waktu yang berbeza sepanjang hari.

Mayat pertama yang merupakan warga Chile bernama Bastida Ballesteros ditemukan dan dikeluarkan pada Ahad jam 12 tengahari waktu tempatan. Mangsa merupakan pekerja PT Redpath Indonesia.

“Bagi pihak saya secara peribadi dan syarikat, saya ingin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang berada di Tembagapura sejak 14 September 2025,” katanya.

Tony turut mengesahkan, pasukan perubatan dan polis menjalankan proses pengesahan mayat dengan teliti dan hormat.

Tambahnya, dua mayat seterusnya ditemukan jam 4.53 petang. Menurut beliau, pasukan perubatan dan polis masih lagi dalam proses mengenal pasti identiti mayat berkenaan.

Beliau turut berjanji bahawa PTFI akan memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia di samping membantu proses mengenal pasti mayat.

Untuk rekod, tragedi di lombong bawah tanah itu berlaku pada Isnin, 8 September 2025 kira-kira jam 10 malam.

Naib Presiden Komunikasi Korporat PTFI, Katri Krisnati menjelaskan, sejumlah besar sisa runtuhan mengalir dan berkumpul di satu kawasan pengambilan pengeluaran di blok bawah tanah.

Aliran tersebut telah menghalang laluan pemindahan dan menutup akses ke beberapa kawasan yang melibatkan tujuh pekerja kontraktor yang pada awalnya dilaporkan terperangkap.

Grasberg Block Cave (GBC) ialah sebuah lombong bawah tanah bagi tujuan mendapatkan tembaga dan emas yang sangat besar di Lombong Grasberg, yang merupakan antara lombong terbesar di dunia. -AGENSI

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast