Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia perlu berwaspada supaya tidak tertipu dengan helah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai pelan damai Gaza.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tergesa-gesa menyokong rancangan damai babit 20 perkara itu yang jelas mencurigakan dalam banyak perkara.

“Esok Perdana Menteri dijangka akan menjawab di Dewan Rakyat soalan tentang apakah pendirian kerajaan Malaysia terhadap Pelan Damai 20 Perkara oleh Trump untuk perdamaian di Gaza antara Israel dan Hamas.

“Ini persoalan penting dan perlu dijawab dengan jelas dan berhati-hati sesuai dengan pendirian tegas Malaysia dalam isu perjuangan adil rakyat Palestin selama berpuluh-puluh tahun ini.

“Yang penting kerajaan Malaysia jangan terlalu mudah; jangan terburu-buru dan jangan beri cek kosong terhadap Pelan Damai 20 perkara Presiden Donald Trump itu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, alasan-alasan supaya pendirian berhemah Malaysia perlu didasarkan ke atas hujah-hujah seperti berikut:

(a) Kerajaan Malaysia perlu teliti dan cerewet dalam menilai pelan damai Trump itu bukanlah kerana kita hendak menjadi lebih Hamas daripada Hamas itu sendiri. Kita memang teruja dengan cadangan Trump yang menjanjikan perang tamat segera di Gaza dan keamanan untuk rakyat Gaza dapat dicapai.

Tetapi soalnya kalau Trump benar jujur tentang keamanan di Gaza untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin maka kenapa Trump dan AS berturut-turut sebanyak enam kali dalam masa dua tahun perang berlangsung telah menggunakan kuasa vetonya ke atas enam resolusi untuk menggagalkan gencatan senjata di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ini kerana pendirian Trump dan AS yang menyokong regim zionist Israel itulah maka seramai lebih 66,000 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel.

(b) Perdana Menteri Malaysia dan Wisma Putera boleh menyemak 20 perkara pelan damai Trump untuk Gaza. Lihat satu persatu. Jelas tidak ada peranan rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri dalam pelan damai itu. Sebaliknya Trump melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi satu badan penyelia antarabangsa yang anggota jawatankuasanya termasuk mantan Perdana Menteri Britain Tony Blair yang pernah bersama-sama George W W Bush, Presiden AS bertanggungjawab memusnahkan Iraq dalam perang pada tahun 2003.

(c) Kerajaan Malaysia perlu berwaspada supaya tidak tertipu dengan helah Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Nentanyahu atas nama pelan damai 20 perkara itu. Nentanyahu dengan terang-terang telah menyatakan kepada rakyat Israel bahawa tentera Israel tidak akan berundur dari wilayah yang telah ditakluknya dan dia Nentanyahu tidak bersetuju wujudnya sebuah negara Palestin merdeka. Ertinya Perdana Menteri Israel itu secara terang lagi bersuluh tidak menerima perkara-perkara asas yang dinyatakan dalam pelan damai Trump 20 perkara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast