Seorang pengawal keselamatan maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah, Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Seorang pengawal keselamatan maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 5, Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima makluman kejadian itu pukul 6 pagi yang melibatkan sebuah motosikal dengan dua kenderaan utiliti sukan (SUV).

“Kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal tersebut dari arah Tongkang Pechah menghala ke arah bandar Batu Pahat. Semasa memasuki ke lorong bertentangan untuk membelok ke persimpanan jalan di sebelah kanan, tiba-tiba berlaku perlanggaran dengan sebuah SUV yang bergerak terus dari arah bandar Batu Pahat menghala ke Tongkang Pechah.

“Perlanggaran ini menyebabkan SUV terbabit telah memasuki laluan bertentangan dan berlanggar pula dengan satu lagi SUV,” katanya dalam kenyataan.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, akibat daripada perlanggaran tersebut, penunggang, Lajis Muri yang berusia 60 tahun beralamat di Kampung Parit Amal di sini meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki kiri.

Pemandu SUV dari arah bandar Batu Pahat iaitu seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun mengalami kecederaan di bahagian bahu kanan manakala pemandu SUV dari arah Tongkang Pechah, lelaki tempatan berusia 40 tahun cedera di bahagian kepala, dagu dan kaki kanan.

“Siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast