Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang mengetuai sidang media bersama sekumpulan Ahli Parlimen dan NGO di Parlimen hari ini berkata, hukuman itu perlu ditangguhkan bagi memastikan Pannir dapat terus membantu siasatan yang sedang berjalan.

KUALA LUMPUR – Beberapa ahli Parlimen dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan secara terbuka siasatan terhadap maklumat yang diberikan oleh banduan Malaysia di Singapura, Pannir Selvam Pranthaman masih dijalankan dan belum selesai.

Gesaan itu dibuat berikutan notis pelaksanaan hukuman mati terhadap Pannir yang dijadualkan pada awal pagi Rabu ini meskipun dia baharu memberi keterangan penting kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang mengetuai sidang media bersama sekumpulan ahli Parlimen dan NGO di Parlimen hari ini berkata, hukuman itu perlu ditangguhkan bagi memastikan Pannir dapat terus membantu siasatan yang sedang berjalan.

“Pada 27 September lalu, Pannir telah ditemu bual oleh pegawai kanan Bukit Aman di Penjara Changi selama tiga jam. Dalam sesi itu, dia memberikan maklumat penting mengenai individu yang dipercayai menyerahkan dadah kepadanya di Malaysia.

“Kami difahamkan PDRM telah membuka siasatan aktif terhadap mereka,” katanya.

Menurut Ramkarpal, sekiranya siasatan tersebut membawa kepada pendakwaan, Pannir akan menjadi saksi material dalam kes yang berpotensi membongkar kegiatan sindiket dadah antarabangsa.

“Melaksanakan hukuman mati sebelum siasatan itu selesai hanya akan menguatkan kedudukan sindiket yang mempergunakan rakyat Malaysia dan Singapura sebagai keldai dadah manakala dalang sebenar terus bebas,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan peguam Pannir di Singapura, Too Xing Ji telah memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan Singapura untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman atas alasan wujudnya perkembangan baharu yang signifikan.

Selain itu, peguamcara Pannir di Malaysia juga telah menulis kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman hari ini bagi mendapatkan kemas kini status siasatan terhadap individu-individu yang dinamakan oleh Pannir dalam kenyataannya.

“Kami menggesa Menteri KDN memberi penjelasan segera berhubung status siasatan itu. Tidak munasabah untuk siasatan menyeluruh disiapkan dalam masa kurang dua minggu sejak kenyataan diambil pada 27 September lalu,” katanya lagi.

Kumpulan itu turut menyeru kerajaan Singapura menangguhkan pelaksanaan hukuman mati bagi memberi ruang kepada proses siasatan yang masih berlangsung.

“Kerjasama dua negara amat penting kerana maklumat yang dibekalkan Pannir boleh membantu melemahkan kegiatan sindiket dadah rentas sempadan dan memberi manfaat kepada keselamatan kedua-dua negara,” tegas Ramkarpal. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast