Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Zaliha Mustafa.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menjelaskan Kampung Baru bukan kawasan tanah Rizab Melayu seperti yang sering disalah anggap.

Sebaliknya, ia diwartakan sebagai kawasan tanah penempatan pertanian Melayu (MAS) sejak 12 Januari 1900.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan, Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai-PN) di Dewan Rakyat hari ini yang meminta penjelasan mengenai cabaran pembangunan tanah Rizab Melayu di sini termasuk faktor pemilikan bertindih dan nilai pasaran terhad.

“Ramai yang masih keliru dan menyangka Kampung Baru adalah tanah Rizab Melayu. Hakikatnya, Kampung Baru ialah kawasan penempatan pertanian Melayu atau MAS yang diwujudkan di bawah Enakmen Tanah 1897.

“Ia mempunyai sekatan kepentingan yang tidak membenarkan bukan Melayu memiliki atau menghuni kawasan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, tanah Rizab Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebenarnya tertakluk di bawah Enakmen Rizab Melayu sebagaimana diperuntukkan melalui Perintah (Ubahsuaian Enakmen Rizab Melayu) Wilayah Persekutuan 1974.

Setakat tahun ini, keluasan keseluruhan tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur berjumlah 2,480 ekar (1,004 hektar) yang meliputi kawasan Rizab Melayu Segambut dan Selayang (Mukim Batu), Sungai Penchala dan Taman Desa (Mukim Kuala Lumpur) serta Gombak (Mukim Setapak).

Dr Zaliha menjelaskan, pelaksanaan pembangunan semula di kawasan tanah Rizab Melayu berdepan pelbagai cabaran kompleks, termasuk isu teknikal, pemilikan, nilai pasaran, serta keperluan memelihara warisan budaya masyarakat setempat.

“Antara cabaran utama ialah struktur pemilikan tanah yang terlalu ramai. Ada satu lot tanah seluas hanya 8,700 kaki persegi tetapi dimiliki oleh lebih 250 individu. Jika seorang pemilik tidak bersetuju, keseluruhan urus niaga atau projek pembangunan boleh tergendala,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan sekatan kepentingan yang mengehadkan pemilikan hanya kepada orang Melayu menyebabkan nilai pasaran tanah rizab Melayu lebih rendah sekaligus mengurangkan minat pelabur untuk terlibat dalam pembangunan berskala besar.

“Nilai masa hadapan tanah rizab dianggap terhad kerana sekatan yang menghalang pemilikan bukan Melayu sedangkan kebanyakan kawasan terletak di lokasi strategik seperti di Sungai Penchala yang menelan kos pembangunan tinggi,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan turut berdepan cabaran menyeimbangkan keperluan pembangunan moden dengan usaha mengekalkan identiti dan nilai warisan budaya kampung tradisi Melayu yang kaya dengan sejarah dan tradisi.

“Pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur  perlu dilaksanakan secara lestari dan inklusif dengan mengambil kira aspek budaya, ekonomi dan undang-undang supaya kesejahteraan masyarakat tempatan dapat dipelihara,” katanya.

Dr Zaliha menegaskan, sebarang usaha pembangunan mesti dilakukan dengan pendekatan menyeluruh dan berhemah agar kemajuan yang dicapai tidak mengorbankan akar sejarah serta nilai warisan bangsa di tengah-tengah pembangunan ibu kota. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast