JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan 10 kes kenderaan Singapura mengisi petrol RON95 di seluruh negeri dari awal tahun hingga kini.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, daripada jumlah itu tujuh kes direkodkan di Johor Bahru manakala masing-masing satu kes dikesan di Kota Tinggi, Segamat dan Pontian.
Sehubungan itu beliau mengingatkan pengusaha stesen minyak di negeri ini supaya lebih bertanggungjawab dan sensitif walaupun pihaknya sudah bertemu mereka dan mengadakan beberapa sesi libat urus.
“Pihak kami memang menekankan kepada semua pengusaha stesen minyak, terutama di Johor supaya mereka lebih cakna, prihatin, sensitif dan sebagainya (dengan isu ini).
“Pengusaha stesen minyak memberikan alasan mereka terlepas pandang tetapi kita mahu mereka memastikan isu ini tidak berulang.
“Setakat ini dalam tempoh seminggu, ada tiga kes viral yang dikesan berlaku sejak insiaitif Budi MADANI 95 (BUDI95) dilaksanakan.
“Memang dalam siasatan kita dan telah dibuka kertas siasatan untuk kita kaji. Apabila kertas siasatan lengkap ia akan dirujuk dengan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Hari Bertemu Pelanggan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) Peringkat Negeri Johor di Pasaraya Econsave Taman Teratai di sini hari ini.
Menurut Lilis, pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama jabatan dan agensi lain yang berkaitan untuk membantu mengatasi isu terbabit.
“Contohnya daripada segi meletakkan peringatan sebelum mereka masuk ke dalam negara kita menerusi pintu masuk sempadan Johor atau sebagainya.
“Kadang-kadang pemandu kereta bernombor pendaftaran Singapura ini ‘mencuba’ mengisi minyak petrol RON95, sebab itu perlu pemantauan daripada kru pengusaha stesen minyak dan masyarakat awam,” katanya.
Beliau berkata, ada juga dalam kalangan mereka yang mengaku rakyat Malaysia tetapi menggunakan kereta berpendaftaran Singapura dan mahu mengisi RON95.
“Mereka tetap tidak boleh beli RON95 sekalipun kononnya warganegara apabila mereka menggunakan kenderaan pendaftaran asing, maknanya mereka tidak boleh pakai RON95,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di Jalan Storey di sini pada petang semalam.- MalaysiaGazette
















