Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan dadah yang dirampas selepas sidang media berhubung kejayaan menumpaskan sindiket dadah bernilai RM25.15 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 OKTOBER 2025

 

SHAH ALAM – Polis Selangor menumpaskan dua sindiket dadah melibatkan rampasan 223.5 kilogram (kg) bernilai RM25.15 juta di sekitar Subang Jaya dan Serdang, antara 1 hingga 5 Oktober lalu.

Ketuanya, Datuk Shazeli Kahar berkata,  pihaknya berjaya menangkap enam lelaki tempatan dan seorang perempuan tempatan berumur 30 hingga 56 tahun.

“Dalam beberapa siri serbuan kali ini, pihak polis berjaya merampas dadah jenis pil dan serbuk ekstasi (136 kg), syabu (65.3 kg), heroin (20.4 kilogram) dan heroin base (1.8 kg) dengan nilai rampasan dadah berjumlah RM25.15 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, bercakap pada sidang media berhubung kejayaan menumpaskan sindiket dadah bernilai RM25.15 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 OKTOBER 2025

 

Menurut Shazeli, kes pertama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor menangkap tiga lelaki tempatan dalam sebuah kereta jenis Volkswagon di hadapan sebuah rumah.

“Pemeriksaan di dalam kereta tersebut telah menjumpai dadah disyaki syabu sebanyak 50.30 gram, kira-kira jam 5.50 petang, pada 1 Oktober lalu.

“Polis juga menangkap lagi dua lelaki tempatan dan seorang perempuan tempatan serta menjumpai dadah disyaki syabu sebanyak 1.59 kilogram dan dadah disyaki ekstasi sebanyak 100 gram dalam sebuah rumah teres,” katanya.

Hasil soal siasat terhadap semua suspek yang ditangkap membawa kepada serbuan ke rumah kedua di sekitar Subang Jaya dan menjumpai dadah disyaki pil dan serbuk ekstasi (115.89 kg), heroin (20.4 kg) dan heroin base (1.8 kg).

“Polis turut dijumpai 17 botol berisi cecair kimia dan tiga botol berisi serbuk kimia,” katanya.

Jelasnya, daripada tujuh suspek yang ditahan, seorang merupakan penganggur, jurujual kereta terpakai, pengurus cawangan di syarikat swasta dan penjual haiwan peliharaan.

“Semakan rekod lampau mendapati hanya lima suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah.

“Saringan awal air kencing bagi kes ini kesemua suspek positif amphetamine dan methamphetamine,” katanya.

Shazeli juga berkata, nilai rampasan dadah bagi kes pertama berjumlah RM19.76 juta dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

“Suspek yang ditahan dipercayai cuba menjadikan kediaman mereka sebagai makmal dadah, bagaimanapun tidak menjadi,” katanya.

Selain itu, katanya polis juga mengambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 serta menyita dua kereta iaitu jenis Infinity Q50 2.0t 7(a) bernilai RM45,000, Honda CR-V Black Edition kira-kira RM110,000 dan wang tunai sebanyak RM2,850.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan kenderaan yang disita selepas sidang media berhubung kejayaan menumpaskan sindiket dadah bernilai RM25.15 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 OKTOBER 2025

Sementara itu, bagi kes kedua pula, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serdang menangkap seorang lelaki tempatan yang memandu kereta jenis Mercedes GLC250 di tepi jalan sekitar Serdang, kira-kira 1 pagi, pada 5 Oktober lalu.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta tersebut telah menjumpai dadah disyaki syabu sebanyak 63.7kg dan pil ekstasi seberat 20.1kg yang disimpan di dalam ruang khas di bahagian bonet belakang,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek yang berumur 39 tahun, masih bujang, bekerja mekanik sambilan, menjual alat ganti dan membaiki kereta import.

“Semakan polis mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau atas kesalahan dadah dan saringan awal air kencing positif amphetamine dan methamphetamine.

Jelasnya, nilai rampasan dadah bagi kes kedua berjumlah RM5.4 juta dan dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Selangor dan Johor.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana pihak polis turut menyita wang tunai sebanyak RM500.

Katanya lagi, kesemua suspek ditahan reman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

“Analisa penggunaan dadah keseluruhan pelbagai jenis dadah yang dirampas kali ini sebanyak 223 kilogram boleh dibekalkan kepada 750,000 orang pengguna dalam satu masa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast