KUALA LUMPUR – Isu pemilik kenderaan mewah culas membayar cukai jalan kembali menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer, menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang disifatkannya sebagai punca ketirisan hasil negara serta mencerminkan ketidaksamarataan dalam pelaksanaan undang-undang.
Beliau berkata, meskipun perkara itu tidak disentuh secara langsung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025, kerajaan wajar memandang serius isu berkenaan kerana melibatkan ribuan kenderaan mewah milik individu ternama termasuk Tan Sri, ahli politik dan ahli perniagaan terkemuka.
“Saya tertarik dengan laporan LKAN berhubung kutipan hasil daripada penjualan nombor pendaftaran kenderaan.
“Kita juga berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang baru-baru ini mendedahkan jumlah kenderaan mewah yang dibeli tetapi tidak membayar cukai jalan,” katanya ketika membahaskan LKAN hari ini.
Menurut Rayer, antara kenderaan yang terlibat ialah 345 Rolls-Royce dengan tunggakan cukai jalan bernilai RM6.4 juta, 372 Lamborghini (RM3.7 juta), 660 Bentley (RM7 juta), 675 Ferrari (RM4.7 juta) dan 4,308 Porsche (RM13.7 juta).
Secara keseluruhannya, tunggakan hasil kerajaan daripada kenderaan mewah yang tidak memperbaharui cukai jalan itu dianggarkan mencecah RM35.7 juta.
“Persoalannya, bagaimana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh membenarkan kenderaan-kenderaan ini didaftarkan dan digunakan di jalan raya tanpa cukai jalan yang sah? Undang-undang sepatutnya terpakai untuk semua, tidak kira siapa. Sama ada VIP, ahli perniagaan atau orang biasa,” tegasnya.
Rayer turut menyeru agar kerajaan memperkukuh sistem pemantauan dan penguatkuasaan cukai jalan, termasuk memperkenalkan mekanisme semakan automatik bagi mengesan kenderaan yang gagal memperbaharui cukai dalam tempoh ditetapkan.
“Kita tidak boleh membiarkan mereka yang berada di atas undang-undang terus terlepas. Ketirisan seperti ini bukan sahaja merugikan hasil negara tetapi juga menimbulkan rasa tidak adil dalam kalangan rakyat biasa yang sentiasa patuh membayar cukai jalan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Rayer turut menyambut baik keterbukaan kerajaan membenarkan laporan Ketua Audit Negara dibahas secara menyeluruh di Dewan Rakyat, menggambarkan komitmen kerajaan terhadap prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus negara.
“Ini merupakan kali ketiga atau keempat laporan Ketua Audit Negara dibahaskan dalam Dewan yang mulia ini sejak pentadbiran sekarang mengambil alih. Ia membuktikan kerajaan mempunyai keazaman dan hati yang terbuka untuk menerima kritikan demi memperbaiki kelemahan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, laporan Ketua Audit Negara bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi cerminan kebertanggungjawaban kerajaan dalam memastikan setiap sen hasil rakyat dibelanjakan dengan telus dan berkesan.
“Tanpa laporan Ketua Audit Negara, kita mungkin terus bergelumang dengan masalah sama. Laporan ini memberi peluang kepada kerajaan dan agensi untuk menilai semula keutamaan serta memperbetulkan sebarang kelemahan,” katanya. – MalaysiaGazette
















