Foto: FB Rusdhan Rusmi

KUALA LUMPUR – Kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung kontroversi hidangan arak disifatkan sekadar cuba meredakan kemarahan rakyat tanpa sedikit pun menampakkan rasa tanggungjawab sebenar daripada pihak yang sepatutnya memimpin.

Sambil melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan itu, Ahli Parlimen Pas Padang Besar, Rushdan Rusmi berkata, isu tersebut sepatutnya dijawab sendiri menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Menurut beliau, insiden majlis rasmi kementerian yang dicemari dengan hidangan arak bukan sekadar salah faham tetapi tanda hilangnya sensitiviti dan panduan moral dalam urus tadbir sebuah institusi awam.

Lebih malang tindakan hanya diambil selepas teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah prinsip MOTAC hanya berfungsi apabila ditegur, bukan daripada kesedaran sendiri.

“Walaupun dikatakan pihak lain yang menganjurkan tetapi kita telah ada garis panduan apabila melibatkan menteri di Malaysia,” katanya.

Menurut Rushdan, sebagai Ahli Jawatankuasa Portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya Perikatan Nasional (PN), beliau menegaskan, isu itu bukan soal protokol semata-mata tetapi soal maruah dan nilai sebuah kementerian yang menggalas tanggungjawab membina citra pelancongan negara.

Sehubungan itu, ujarnya, Datuk Seri Tiong King Sing tidak boleh sekadar bersembunyi di sebalik ayat ‘MOTAC mengambil iktibar’.

“Yang rakyat mahu dengar ialah, siapa bertanggungjawab dan apakah tindakan terhadapnya,” katanya.

Tambah beliau, citra pelancongan bukan dibina dengan pesta dan persembahan semata-mata tetapi dengan akhlak, akal budi dan integriti kepimpinan.

Terdahulu, MOTAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan akan memastikan insiden arak yang dihidangkan dalam majlis makan malam rasmi kementerian itu tidak lagi berulang.

Katanya, kementerian itu akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan dan etika yang telah ditetapkan.

Kenyataan itu susulan amaran keras Anwar awal hari ini kepada King Sing serta kementerian berkenaan supaya memastikan kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.

Anwar berkata, penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast