Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 25 OGOS 2025.

 

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan sebanyak 7,228 audit keselamatan ke atas pengendali kenderaan komersial di seluruh negara setakat 30 September lepas sebagai sebahagian daripada langkah berterusan memastikan pematuhan piawaian keselamatan jalan raya.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, audit tersebut dijalankan di bawah program JPJ Inspection & Safety Audit (JISA), yang bertujuan menilai tahap pematuhan syarikat terhadap Kod Tata Amalan Industri (ICOP) berkaitan aspek keselamatan dalam sektor pengangkutan.

“Audit JISA menilai lima komponen utama, iaitu pengurusan keselamatan, pengurusan kenderaan, pengurusan pemandu, pengurusan rekod, dan pengurusan risiko,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan, setiap pengendali kenderaan diwajibkan mematuhi tujuh perkara mandatori di bawah ICOP, termasuk pelantikan pegawai keselamatan, pemasangan GPS, pematuhan masa pemanduan dan rehat, penyediaan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) serta penyediaan nombor hotline syarikat bagi tujuan aduan awam.

Mengulas mengenai jumlah syarikat yang diaudit, beliau menjelaskan bahawa setakat 30 April 2025, sebanyak 48,002 syarikat pengendali kenderaan perdagangan telah berdaftar di bawah JPJ bukan 300,000 seperti yang dinyatakan dalam pertanyaan.

“Angka 300,000 itu mungkin berpunca daripada kekeliruan antara jumlah syarikat dengan jumlah keseluruhan 372,586 kenderaan perdagangan berlesen (bas dan lori) di bawah kawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” ujarnya.

Katanya, pelaksanaan audit keselamatan JISA merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan kenderaan berat secara signifikan, sejajar dengan usaha memperkukuh keselamatan pengguna jalan raya.

Dalam masa yang sama, JPJ sedang melaksanakan pelan pendigitalan proses audit keselamatan melalui pembangunan sistem digital JISA, yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2027.

“Melalui sistem baharu ini, modul audit dan pemantauan akan dilaksanakan secara kendiri dengan mekanisme pengesahan serta kawalan bagi memastikan audit dijalankan secara telus, cekap dan berintegriti,” ujarnya.

Sistem tersebut akan mengintegrasikan data daripada peranti GPS terus ke dalam pangkalan data JISA, membolehkan pengesanan ketidakpatuhan secara masa nyata termasuk aktiviti seperti pemanduan melebihi had kelajuan, penyimpangan laluan dan operasi di luar waktu yang dibenarkan.

“Pendigitalan ini dijangka dapat mempercepat pengesanan ketidakpatuhan, meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan mengurangkan kerenah birokrasi.

“Ini juga selaras Kerajaan Madani untuk mempercepatkan transformasi digital dalam sektor pengangkutan negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast