KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan agar kadar cukai ke atas cecair vape dinaikkan daripada RM0.40 kepada RM4 bagi setiap mililiter, bagi menyelaraskannya dengan cukai yang dikenakan terhadap rokok konvensional.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pertimbangan dan pelaksanaan.
“Setakat ini, satu batang rokok bersamaan dengan 10 puf atau asap yang keluar, manakala satu kotak rokok bersamaan dengan 200 puf.
“Bagi cecair pula, satu mililiter cecair vape adalah bersamaan dengan 100 puf, ataupun dua mililiter bersamaan dengan 200 puf.
“Oleh itu, kadar cukai yang dicadangkan kepada cecair vape adalah daripada RM0.40 kepada RM4 per mililiter.
“Itu merupakan cadangan daripada pihak Kementerian Kesihatan agar dapat diterima oleh pihak MOF,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan di Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Saiful telah mencadangkan agar kerajaan menyamaratakan kadar cukai nikotin antara rokok dan vape serta memperkenalkan harga lantai bagi produk berasaskan nikotin, bagi mengelak jurang harga yang besar antara kedua-duanya.
Dalam pada itu, Lukanisman memaklumkan penguatkuasaan sepenuhnya terhadap larangan merokok dan vape telah dikuatkuasakan sejak 1 Oktober 2024.
Ini selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“Kementerian Kesihatan akan mempergiatkan langkah-langkah penguatkuasaan terbaik bagi memastikan larangan merokok dan juga vape ini dapat dilakukan sebaik mungkin.
“Namun demikian, kita memerlukan sokongan dan kerjasama daripada masyarakat dan juga netizen di luar sana untuk membantu dan tidak takut menegur perokok yang merokok di kawasan larangan.
“Itu adalah langkah yang perlu kita budayakan di kalangan masyarakat Malaysia,” tambahnya.
Namun, pelaksanaan undang-undang itu akan lebih berkesan sekiranya masyarakat memainkan peranan aktif dalam menegakkan peraturan yang telah digubal kerajaan bagi menjaga kesihatan awam. – MalaysiaGazette
















