MELAKA – Pegawai Khas Agama Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap pemandu kenderaan yang tular dipercayai memaparkan pelekat bertulisan bahasa Hebrew membawa maksud “Malaysia milik kami” hari ini.
Beliau berkata, tindakan menampal pelekat dalam bahasa etnik Ibrani (Hebrew) agama Yahudi digunakan Zionis itu tidak sensitif terhadap sentimen umat Islam di negara ini.
“Tindakan ini boleh menimbulkan kegusaran awam di saat masyarakat begitu marah menyaksikan kekejaman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Tulisan Hebrew membawa maksud ‘Malaysia milik kami’ atau ‘Malaysia di tangan kami’ atau ‘Malaysia rumah kita ini wajar disiasat segera,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau pada jam 3.32 petang tadi selepas terlihat kejadian itu yang tular di media sosial tengah hari tadi.
“Berdasarkan maklumat yang dikongsikan orang ramai di media sosial, kenderaan jenis pikap Isuzu itu dikesan berada di Melaka malah didakwa turut bergerak sehingga ke Negeri Sembilan.
“Perkara ini amat menyentuh hati rakyat terutamanya umat Islam di Melaka yang sedang mengikuti rapat perkembangan di Gaza dan misi bantuan Sumud Flotilla,” tegasnya.
Justeru, Hairul menggesa polis segera membuka satu kertas siasatan segera bagi mengenal pasti pemilik kenderaan dan asal-usul pelekat itu.
“Saya menyerah sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan tiada unsur provokasi atau cubaan mengganggu keharmonian masyarakat,” katanya.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan tular video sebuah pikap didakwa berlaku di Melaka menggunakan pelekat dalam bahasa Hebrew yang merupakan bahasa rasmi Israel membawa maksud ‘Malaysia rumah kami’ atau ‘Malaysia di tangan kami’.
Video berdurasi 14 saat memaparkan pelekat warna biru bertulisan putih yang merupakan warna bendera Israel itu dikongsikan seorang pengguna thread sehingga mencetuskan ribuan reaksi kemarahan rakyat negara ini.
Rata-rata mereka turut mempersoalkan tindakan pemilik atau pemandu pikap itu yang cuba menimbulkan provokasi. – MalaysiaGazette
















