ISKANDAR PUTERI – Mayat pemancing yang hilang selepas bot nelayan dinaiki karam di Kampung Tebing Runtuh di sini pagi semalam, ditemukan pukul 12.55 tengah hari tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I Mahdzir Mahmud berkata, mayat Alpaizar Abd Mois yang berusia 43 tahun ditemui kira-kira 100 meter dari tebing.
“Mayat ditemui selepas bomba melakukan teknik surface searching di kawasan persisiran tebing dan di bawah rumah rakit.
“Pihak bomba kemudian menaikkan mayat ke dalam bot sebelum dibawa ke darat pukul 1.13 petang untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan 12 anggota bomba dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah lori Hicom.
Ujarnya, turut melibatkan empat anggota polis, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), empat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dua tentera dan tiga polis marin.
Tambah beliau, operasi berkenaan selesai pada pukul 2.21 petang.
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi semalam, Alpaizar yang bekerja sebagai pemandu lori pergi memancing bersama-sama rakannya di perairan tersebut.
Kemudian sauh bot fiber mereka tersangkut semasa mengubah haluan sebelum terbalik dan karam.
Rakan mangsa yang juga berusia 43 tahun diselamatkan orang awam manakala Alpaizar hilang sejak semalam sebelum ditemui lemas hari ini.- MalaysiaGazette















