PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan perkhidmatan awam akan kehilangan arah sekiranya tadbir urus sektor itu tidak berpandukan kepada moral.
Menurut Perdana Menteri, tanggungjawab perkhidmatan awam adalah memperkasakan rakyat dan memastikan kemajuan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.
Tegas beliau, perkhidmatan awam yang gagal mendengar suara golongan lemah atau terpinggir juga akan menyebabkan kehilangan legitimasi.
“Keadilan mesti memandu setiap keputusan kita. Kemajuan tanpa belas kasihan menjadi berbahaya, manakala pembangunan tanpa keadilan menjadi kosong,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Pembukaan Persidangan ASEAN: Perkhidmatan Awam Yang Bersedia Menghadapi Masa Hadapan Masa, di sini hari ini.

Tambah Anwar, kepimpinan pada hari ini menuntut kejelasan moral dan keberanian untuk melakukan reformasi.
Katanya, sebuah perkhidmatan awam yang bersedia untuk masa depan memerlukan pemimpin yang berfikir melangkaui kitaran pilihan raya, bertindak secara telus, dan menerima pandangan awam.
Sementara itu, Anwar berkata, meskipun ASEAN ketika ini merupakan rantau paling stabil, namun aspek tersebut semata-mata tidak akan mempersiapkan negara-negara anggota terhadap cabaran yang mendatang.
“Disebabkan itu, kita mesti berfungsi sebagai rangkaian institusi yang berkeupayaan dan dipercayai.
“Fasa seterusnya dalam kerjasama ASEAN akan bergantung kepada sejauh mana kita memodenkan struktur pentadbiran negara itu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette
















