KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM450 juta bagi tahun 2025 untuk memperkasa kontraktor kecil bumiputera kelas G1 hingga G4 dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan, dasar ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan kontraktor tempatan terus diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek pembinaan dan penyelenggaraan di bawah KKR termasuk di Langkawi.
Menurut Ahmad, dasar tersebut selaras dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) yang menekankan pembangunan ekosistem industri pembinaan secara inklusif dengan memberi tumpuan kepada penglibatan kontraktor kecil tempatan.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) turut melaksanakan Program Mempercepatkan Penyenggaraan Jalan dengan Memanfaatkan Kontraktor G1 hingga G4 yang membolehkan kontraktor kecil dilantik melalui kaedah cabutan undi bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di seluruh negara melalui syarikat konsesi.
“Setakat ini sebanyak 664 kontraktor G1 hingga G4 telah terpilih melalui kaedah perolehan secara undian, dan semua kerja penyelenggaraan dijangka siap sepenuhnya pada 30 Oktober tahun ini,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Langkawi (PN), Datuk Suhaimi Abdullah di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad turut menjelaskan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memainkan peranan penting dalam memperkasa kontraktor kecil melalui pelbagai program latihan dan pembangunan kapasiti.
Ini termasuk usaha melahirkan kontraktor muda Bumiputera serta meningkatkan kemahiran teknikal dan keusahawanan dalam kalangan lepasan TVET dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).
Menurutnya, program seperti Accelerator for Construction Entrepreneurs (ACE), Skilltechpreneur, SFERA (Construction Innovation Hub) dan Cekap+ (Cekap Plus) memberi manfaat kepada ratusan kontraktor kecil melalui latihan kemahiran, inovasi teknologi dan bimbingan pengurusan kontrak agar lebih berdaya saing.
Dalam jawapan tambahan di Dewan Rakyat, Ahmad berkata dari Januari hingga Oktober 2025, sebanyak 76 projek kerajaan dan swasta telah dilaksanakan di Langkawi, dan daripada jumlah itu, 36 projek atau 47.4 peratus dianugerahkan kepada kontraktor tempatan.
Beliau menjelaskan, pengagihan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan kontraktor tempatan terus mendapat manfaat secara langsung daripada pelaksanaan projek di peringkat daerah dan negeri.
Secara keseluruhan, Malaysia kini mempunyai 139,662 kontraktor berdaftar di bawah CIDB yang terdiri daripada pelbagai kategori kelas daripada G1 hingga G7.
Ahmad turut menegaskan semua proses perolehan kerajaan dilaksanakan berpaksikan kepada lima prinsip utama, iaitu akauntabiliti awam, ketelusan, nilai untuk wang, persaingan terbuka dan keadilan.
Sebagai langkah mempercepat pelaksanaan projek dan merancakkan aktiviti ekonomi, Ahmad berkata kerajaan turut membenarkan perolehan kerja secara cabutan undi bagi projek bernilai sehingga RM200,000 sehingga 31 Disember 2025, berbanding had asal RM50,000 sebelum ini.
Katanya, langkah itu akan memberi peluang lebih luas kepada kontraktor kecil di seluruh negara, termasuk di Langkawi, untuk terlibat secara langsung dalam projek-projek kerajaan dan seterusnya memperkukuh ekonomi setempat. – MalaysiaGazette















