Kasim Mansor

KOTA KINABALU – Semua kursus yang ditawarkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempunyai akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, semua program telah melalui penilaian dan proses akreditasi ketat seperti yang telah ditetapkan MQA, termasuk penilaian aspek kebolehpasaran graduan, kajian pasaran, kelayakan pensyarah, dan kesesuaian kurikulum.

Sehubungan dengan itu, UMS menafikan sepenuhnya tanggapan segelintir pihak yang mendakwa wujudnya ‘kursus lelong’ di universiti awam ini.

Bagi universiti ini, perkara itu tidak pernah timbul memandangkan program-program pengajian di UMS sentiasa melalui semakan berkala bagi memastikan kandungan kekal relevan dengan perkembangan industri semasa.

Proses ini menjamin graduan UMS bukan sahaja memenuhi kehendak pasaran kerja domestik, tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa, ujarnya.

Ia diperkukuhkan lagi melalui hasil dapatan kajian kadar purata Kebolehpasaran Graduan (Graduate Employability, GE) UMS bagi lima tahun kebelakangan ini iaitu sebanyak 95.46% yang menyaksikan kadar GE tertinggi pada tahun 2023 dengan 98.5%.

Fakta ini sekali gus menjadi bukti kukuh bahawa graduan daripada universiti ini diterima baik oleh pasaran pekerjaan.

Seiring dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi serta penegasan MQA, UMS komited untuk terus menyediakan program berkualiti tinggi, melahirkan graduan kompetitif dan berdaya saing, serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast