Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perubahan dasar dibuat berkaitan kelayakan jenis kenderaan termasuk Sport Utility Vehicle (SUV) untuk digunakan dalam perkhidmatan e-hailing.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, semua kenderaan yang memenuhi syarat teknikal serta mempunyai kapasiti tempat duduk antara empat hingga 11 orang adalah layak untuk dipertimbangkan bagi pelesenan e-hailing (EHO).

Menurutnya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mengehadkan penggunaan kenderaan jenis SUV bagi tujuan pendaftaran e-hailing.

“Kementerian juga memahami kebimbangan yang timbul dalam kalangan pemandu e-hailing serta syarikat pengendali dan ingin memberi jaminan bahawa urusan pendaftaran kenderaan akan diteruskan seperti biasa mengikut peraturan dan garis panduan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan kononnya kenderaan jenis SUV tidak lagi dibenarkan didaftarkan sebagai salah satu kategori kenderaan e-hailing.

Situasi itu menimbulkan keresahan khususnya dalam kalangan pemandu e-hailing jenis SUV sedia ada yang bimbang sekiranya Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) mereka tidak boleh diperbaharui.

Malah larangan itu turut menarik perhatian beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang menyifatkannya tidak selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) yang juga menjadi platform kepada tonggak pemulihan pasca pandemik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast