KUALA LUMPUR – Tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan selepas disyaki memiliki dadah dalam rondaan cegah jenayah di Jalan Susur Masuk ke Bukit Ampang Permai, di Ampang Jaya, baru-baru ini.
Polis Daerah Ampang Jaya dalam kenyataan berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 35 hingga 39 tahun dicekup selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan dijalankan.
“Ketika pemeriksaan, salah seorang suspek menyerahkan beg silang berwarna hitam secara sukarela kepada polis.
“Pemeriksaan lanjut ke atas beg tersebut menemui satu kad pengenalan milik suspek dan satu beg kecil lutsinar mengandungi tiga paket plastik berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 28.60 gram.
“Hasil semakan nombor kad pengenalan suspek melalui sistem Sistem Kompol DCC Ampang Jaya mendapati suspek pertama dan kedua masing-masing mempunyai sembilan dan empat rekod jenayah lampau,” katanya.
Tambahnya, ujian saringan air kencing turut mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Ketiga-tiga suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















