Pasukan keselamatan membantu penumpang bot yang cedera selepas bot yang dinaiki terlibat kemalangan dengan bot polis marin di Jeti Maritim Malaysia Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Seramai 10 penumpang cedera selepas bot yang dinaiki terlibat kemalangan dengan bot polis marin di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Gelang Patah di sini hari ini.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Johor Bahru dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku pukul 3.58 pagi sebelum anggotanya dan dikejarkan ke lokasi pukul 4.07 pagi.

“Kemalangan tersebut menyebabkan 10 cedera, mangsa terdiri daripada lima lelaki dewasa, empat wanita dewasa warga indonesia dan seorang wanita dewasa etnik Rohingya warga Myanmar.

“Semua 10 mangsa pelanggaran tersebut selamat dan menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan tersebut.

APM memberitahu, operasi itu turut melibatkan 15 anggota polis marin dengan sebuah bot, empat kakitangan HSA dibantu dua ambulan dan dua anggota pasukan kecemasan St John dengan sebuah ambulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian tersebut.

Katanya, kes masih dalam siasatan dan kenyataan akhbar berhubung kejadian tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast