KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyeru kerajaan agar menjadikan Belanjawan 2026 sebagai belanjawan yang benar-benar mesra PKS dan berorientasikan pertumbuhan, dengan tumpuan kepada pengurangan tekanan kewangan, penambahbaikan akses kepada pembiayaan, serta sokongan kepada perdagangan intra-ASEAN.
Ini termasuk mengelakkan sebarang cukai baharu yang boleh menjejaskan momentum pemulihan ekonomi.
Presidennya, Datuk William Ng berkata, kajian SAMENTA SME Outlook Survey yang diumumkan baru-baru ini
menunjukkan walaupun 65% perusahaan kecil dan sederhana (PKS) percaya ekonomi negara berada di landasan yang betul, sebahagian besar masih berdepan kekangan aliran tunai dan peningkatan kos operasi.
Menurutnya, tujuh daripada 10 PKS mempunyai simpanan tunai kurang daripada enam bulan, justeru, ini bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan cukai baharu atau menambah beban pematuhan.
Tambah beliau, Belanjawan 2026 wajar memberi tumpuan kepada usaha meringankan tekanan aliran tunai dan meningkatkan daya saing PKS, berbanding memperkenalkan langkah kutipan hasil baharu.
Oleh itu, katanya, sebarang pengenalan atau peluasan cukai hanya akan melemahkan daya tahan PKS.
Sebaliknya, kerajaan digalakkan memperluas skim jaminan kredit sedia ada supaya lebih banyak PKS, termasuk perusahaan mikro dan syarikat baharu, dapat memperoleh pembiayaan tanpa keperluan cagaran yang tinggi.
“Walaupun ASEAN merupakan pasaran terdekat untuk Malaysia, perdagangan intra-ASEAN masih berada sekitar 21 peratus. Cabaran tarif serta gangguan rantaian bekalan global telah menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh
pengeluaran dan rantaian bekalan di rantau ini,” katanya.
Sehubungan itu, Samenta mencadangkan agar kerajaan memberi insentif cukai bagi perbelanjaan yang digunakan untuk
membangunkan pasaran dan rantaian bekalan intra-ASEAN.
Langkah ini akan menggalakkan lebih banyak PKS melabur dalam perkongsian serantau, usaha sama, dan jaringan eksport di peringkat ASEAN.
Malah, jelas Ng, perkara ini juga penting selaras dengan hasrat negara untuk beralih daripada “Buatan Malaysia” kepada “Made by Malaysia”.
“Sokongan kepada sektor PKS juga perlu diperluas daripada hanya membantu pengeluaran tempatan kepada menggalakkan
inovasi, pemilikan harta intelek (IP), dan usaha mengantarabangsakan jenama Malaysia.
Jelasnya, sebagai belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Belanjawan 2026 perlu membantu PKS beralih daripada fasa kelangsungan kepada fasa daya saing; dan daripada menjadi pembekal kepada menjadi inovator serta pemain serantau.
“Kita tidak boleh bergantung kepada geran semata-mata. Sebaliknya kita perlukan ekosistem yang menggalakkan inovasi, pendigitalan dan integrasi serantau,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















