Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini dalam proses menggubal Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) di bawah Akta Pendidikan 1996, bagi memperkukuh penguatkuasaan dan panduan kepada guru dalam mengurus kes salah laku disiplin termasuk buli.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM memandang serius peningkatan kes buli yang direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), iaitu 7,681 kes pada tahun lalu berbanding 6,528 kes pada 2023.

Oleh itu, semua pihak perlu bersama mendukung usaha ini agar persekitaran pembelajaran lebih selamat dan kondusif dapat diwujudkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang menelan kos sebanyak RM3 juta di 200 asrama sekolah di seluruh negara akan bermula 13 Oktober ini.

Menurutnya, pemasangan sistem keselamatan itu dibuat sebagai langkah pencegahan menyeluruh bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar yang tinggal di asrama sentiasa terpelihara.

Pemilihan lokasi pemasangan dibuat dengan nasihat Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), selain turut melibatkan lawatan mengejut untuk menilai tahap keselamatan semasa di sekolah berasrama.

“Lawatan mengejut juga akan diadakan termasuk pada waktu malam bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan tahap keselamatan berada pada paras terbaik,” katanya ketika menjawab soalan Dr. Halimah Ali (PN–Kapar) di Dewan Rakyat hari ini.

Kah Woh berkata, lawatan berkenaan akan melibatkan penyertaan pengurusan tertinggi KPM, pengarah pendidikan negeri, serta pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai sebahagian daripada pemantauan berkala terhadap asrama sekolah.

Beliau menjelaskan, selain pemasangan CCTV, KPM turut melaksanakan pendekatan pencegahan secara menyeluruh melalui Program Saringan Minda Sihat yang memberi tumpuan kepada kesihatan mental, pengurusan emosi dan kesejahteraan diri pelajar.

“KPM juga telah melantik Duta Sahsiah, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan pemimpin murid di sekolah untuk membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar agar tidak terlibat dengan salah laku disiplin termasuk buli dan salah laku digital,” jelasnya.

Katanya, bagi memperkukuh kefahaman guru terhadap aspek undang-undang dan tanggungjawab moral pendidik, KPM turut mengadakan latihan berkaitan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta konsep in loco parentis dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Akademi Perundangan Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast