KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengingatkan Kerajaan Negeri Sabah yang kini sudah terbubar untuk tidak mengumumkan sebarang peruntukan baharu mahupun terlibat dalam penyampaian peruntukan-peruntukan yang telah dirancang.
Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan hari ini memaklumkam, sekiranya ada majlis tersebut, penjawat awam peringkat negeri boleh menyampaikan kepada mereka yang terlibat tanpa penglibatan daripada ahli-ahli politik.
Selain itu, katanya, Bersih turut mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya tidak melibatkan wakil rakyat penyandang dalam program-program kerajaan.
Tambahnya, ia selari dengan prinsip larangan 3C yang digariskan oleh Bersih iaitu tidak bersyarat (no condition), tidak berkempen (no campaign) dan tidak membawa calon (no candidate).
“Prinsip-prinsip pilihan raya bersih, bebas dan adil perlu diangkat terutamanya oleh Kerajaan Persekutuan yang mengangkat nilai-nilai reformasi demokrasi dan perundangan.
“Sumber-sumber kerajaan yang datang daripada rakyat tidak boleh digunakan untuk memberi kelebihan yang tidak adil kepada pihak tertentu terutamanya kepada parti pemerintah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sekali gus membuka laluan kepada Pillihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.
Berikutan pembubaran itu, Kerajaan Negeri Sabah sekarang sedang dipimpin oleh kerajaan sementara dan tidak mempunyai kuasa sebagaimana kerajaan biasa.
Sementara itu, Bersih menyeru para calon dan parti politik untuk berkempen dengan adil, tanpa menunggang jentera dan sumber kerajaan untuk mencari kemenangan.
Katanya, penyalahgunaan kuasa dan dana awam demi kepentingan politik adalah satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
“Jika kerajaan benar-benar yakin dengan sokongan rakyat, bertandinglah secara bersih, bukan dengan memanipulasi kuasa yang datang daripada rakyat sendiri,” katanya.
Tambahnya, rakyat Sabah berhak kepada pilihan raya yang tulen, bukan sandiwara politik yang dicemari habuan dan pengaruh tidak wajar.
Dalam masa sama, Bersih turut menyeru seluruh rakyat Sabah untuk bangkit bersama dalam usaha memastikan PRN kali ini sejatinya bersih, bebas dan adil.
“Bersih menyeru kepada rakyat Sabah untuk menyertai inisiatif Pemantau Pilihan Raya Bersih kerana masa depan Sabah dan maruah demokrasi kita bergantung kepada keberanian rakyat untuk memantau, bersuara dan menuntut keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette
















