Hasbi Habibollah

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia menegaskan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan secara dalam talian, JPJeBid, dijalankan sepenuhnya secara automatik tanpa sebarang campur tangan manusia bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, kementerian menyedari wujudnya pihak tertentu atau scalpers yang cuba menjual semula nombor pendaftaran selepas memenangi bidaan, namun menegaskan urus niaga seperti itu bukan urusan rasmi JPJ.

“JPJ mengambil maklum mengenai pihak tertentu yang menjual semula nombor pendaftaran selepas memenangi bidaan.

“Tetapi sistem JPJeBid dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian dan automatik, tanpa campur tangan manusia,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 3/2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan, sistem berkenaan hanya membenarkan individu membida maksimum lima nombor dan syarikat tiga nombor bagi setiap siri bidaan.

Tambahnya, penjualan semula nombor hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu seperti kematian pembida dan pemindahan kepada ahli keluarga terdekat.

“JPJ tidak pernah mengiktiraf sebarang penjualan semula nombor pendaftaran di platform tidak rasmi. Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan saluran rasmi JPJ bagi mengelakkan penipuan dan memastikan urus niaga yang sah,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Hasbi menjelaskan, sistem eBidding JPJeBid direka untuk memudahkan penyertaan awam tanpa sekatan kewangan awal, dan oleh itu tidak memerlukan cagaran atau wang pendahuluan.

“Proses pembayaran juga dikawal ketat oleh pihak bank. Tiada ruang untuk manipulasi, dan sistem ini terus dipantau bagi menjamin integriti serta kecekapan kutipan hasil kerajaan,” katanya.

Tambah Hasbi, JPJ akan terus menambah baik sistem sedia ada melalui pelaksanaan eBaki, iaitu sistem baharu yang bakal memperkukuh pengurusan jualan nombor baki agar lebih teratur, berintegriti dan berimpak tinggi kepada hasil kerajaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast