Kapal tersebut ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran.

GEORGE TOWN – Tindakan sebuah kapal tangki berdaftar di Panama bersauh tanpa kebenaran di perairan negeri ini membawa padah apabila ia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu operasi, semalam.

Lebih memburukkan keadaan, nakhoda kapal dilaporkan tidak memberi kerjasama apabila enggan menyerahkan dokumen berkaitan kapal.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kapal tangki yang membawa muatan minyak ‘gasoline’ itu ditahan pada kedudukan 14.3 batu nautika dari barat laut Muka Head oleh bot peronda APMM, pada jam 11.30 malam.

Jelasnya, kapal berdaftar di Panama itu dikendalikan 20 kru warga China, yang kesemuanya memiliki dokumen pengenalan sah.

“Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati kapal terbabit tidak memiliki kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia seperti dikehendaki di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Selain itu, nakhoda kapal juga enggan memberi kerjasama termasuk ada kru yang tidak membenarkan anggota APMM turun ke bot peronda untuk meneruskan penguatkuasaan selepas pemeriksaan selesai di atas kapal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selepas rundingan dijalankan, kru akhirnya membenarkan penguat kuasa kembali ke bot peronda tanpa sebarang insiden lanjut.

“Susulan itu, kita mengambil tindakan penahanan selepas mereka disyaki melanggar Seksyen 491B(1), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“APMM memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang laut negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk kapal asing.

“Kita akan terus memperketat pengawasan terutama terhadap aktiviti mencurigakan di perairan negeri ini bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan maritim negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast