KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan bahawa jabatan itu gagal mengutip hasil daripada penjualan nombor pendaftaran kenderaan.
Sebaliknya tiada kerugian kepada kerajaan sekiranya sesuatu siri nombor tidak habis dijual.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Haji Hasbi Habibollah berkata, hasil hanya dikira selepas pembelian dibuat oleh orang awam manakala nombor yang tidak dibeli atau tamat tempoh akan dikembalikan untuk bidaan semula atau ditawarkan semulla kepada umum.
“Nombor pendaftaran merupakan tanda pengenalan dalam sistem JPJ. Sekiranya masih ada baki nombor yang tidak dijual, ia tidak menyebabkan kerugian kepada kerajaan.
“Hasil hanya dikutip setelah pembelian dibuat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Limbang pada sesi penggulungan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 3/2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjelaskan, walaupun sesuatu nombor tamat tempoh, pembeli asal atau orang ramai masih boleh membelinya semula melalui saluran rasmi yang disediakan JPJ seperti kaunter JPJ negeri dan cawangan, portal MySIKAP, serta melalui Jawatankuasa Khas Nombor Pendaftaran (JKNP) bagi kategori nombor utama, premium dan popular.
“Nombor pendaftaran yang tidak aktif akan dibuka semula untuk pembelian awam melalui saluran sah. Ini memastikan semua hasil dikutip secara berperingkat tanpa sebarang kebocoran,” ujarnya.
Hasbi berkata, sebagai langkah tambahan, JPJ sedang membangunkan satu sistem baharu yang dikenali sebagai eBaki di bawah penambahbaikan sistem MySIKAP bagi membolehkan nombor baki atau tamat tempoh ditawarkan semula kepada orang ramai secara dalam talian.
“Sistem eBaki akan menjadi satu lagi saluran rasmi bagi jualan semula nombor pendaftaran. Ini juga akan memperluas peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan nombor pilihan dengan cara yang sah dan telus,” ujarnya.
Beliau berkata, melalui kaedah itu, hasil kerajaan tidak akan terjejas kerana setiap nombor yang belum digunakan akan kembali ke sistem bidaan rasmi selepas tamat tempoh sah. -MalaysiaGazette
















