Lim Hui Ying.

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berjaya mengurangkan tunggakan hasil sebanyak RM6.476 bilion sehingga 31 Ogos tahun hasil tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap pembayar cukai culas.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, LHDN melaksanakan semua tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang percukaian tanpa mengira status pembayar cukai.

“Tindakan penguatkuasaan termasuk operasi guaman, pemfailan saman, penghakiman serta sekatan perjalanan bagi menghalang pembayar cukai culas ke luar negara.

”Semua ini dilaksanakan mengikut undang-undang yang sedia ada,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 3/2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menegaskan, bagi kes melibatkan golongan berpendapatan tinggi yang gagal melunaskan cukai, LHDN turut menjalankan operasi jejak dan pemeriksaan ke kediaman serta pejabat, bagi memastikan kutipan dapat dilaksanakan dengan adil dan tegas.

“Tiada pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang percukaian. Semua individu dan syarikat tertakluk kepada peraturan sama, kebanyakan kes tunggakan yang melebihi enam tahun berpunca daripada proses mahkamah, kebankrapan atau penggulungan syarikat manakala sebahagian lagi masih dalam proses pembayaran ansuran,” ujarnya.

Beliau memaklumkan sebanyak RM337.14 juta hutang telah dihapus kira pada tahun 2024, tertakluk kepada garis panduan Perbendaharaan dan hanya melibatkan kes yang tidak lagi boleh dikutip seperti pembayar cukai yang meninggal dunia, bankrap atau syarikat yang digulung.

“Kementerian memastikan setiap jabatan dan agensi mempunyai kawalan dalaman serta SOP kutipan tunggakan yang berkesan agar tidak merugikan kerajaan,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Kewangan kini menambah baik mekanisme kutipan hasil melalui pendekatan pentadbiran dan penguatkuasaan yang lebih sistematik di semua peringkat.

“LHDN bukan sahaja agensi pemungut hasil, tetapi juga penjaga keadilan fiskal memastikan mereka yang mampu membayar cukai turut menyumbang secara adil kepada pembangunan negara,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast