Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 16 akaun syarikat dan 25 akaun perbankan milik individu dianggarkan RM70 juta susulan serbuan ke atas syarikat-syarikat dipercayai terlibat penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import/eksport pada 29 September lalu.

Menurut sumber, serbuan yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Operasi yang dinamakan Op Grip yang dilaksanakan secara Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) itu turut menyita empat aset tak alih bernilai kira-kira RM13 juta.

Katanya, setakat ini dua buah syarikat telah dikenal pasti terbabit dalam sindiket ini dan antara modus operandi yang digunakan adalah pembelian melalui peniaga tidak sah dan penipuan pelekat.

“Siasatan awal mendapati tayar yang diseludup adalah tayar baharu tetapi ia mempunyai pelbagai isu seperti penipuan pelekat dan juga tampering barcode.

“Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, SPRM juga telah membuka kertas penyiasatan tatakelola berkaitan kes tersebut.

“Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) akan melakukan siasatan dokumen berkaitan perolehan tayar-tayar tersebut kerana didapati tayar-tayar ini tidak didaftarkan serta ada unsur penyeludupan atau import tidak sah yang boleh menyebabkan risiko keselamatan pengguna,” katanya,

Awalnya, media telah melaporkan siasatan ini dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast