Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Naim Mokhtar berucap pada Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 dan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-42 di Hotel Double Tree By Hilton, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 08 OKTOBER 2025.

PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil inisiatif untuk turun padang bagi mengesan bakal jemaah haji yang masih belum mengemaskini maklumat tempat tinggal masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, terdapat bakal jemaah yang berkemungkinan telah berpindah ke kediaman baharu, namun tidak memaklumkan perubahan tempat tinggal mereka kepada pihak TH.

Beliau berkata, pihaknya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada TH atas inisiatif yang diambil berhubung perkara itu.

“Saya memang tahu, ada staf dan pegawai Tabung Haji yang turun padang, pergi ke rumah-rumah jemaah yang telah ditawarkan haji termasuk yang ditetapkan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun 2026 bagi memastikan keberadaan mereka. Usaha sebegini (turun padang) amat terpuji,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 dan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-42, di sini, hari ini.

Sebelum ini, TH mengingatkan bakal jemaah haji untuk mengemas kini profil maklumat peribadi bagi memastikan proses komunikasi dan tawaran haji tahun depan berjalan lancar.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mustakim Mohamad berkata, semua bakal jemaah haji sudah boleh menyemak giliran menunaikan haji bagi musim haji 1447/2026M melalui platform THiJari atau di pejabat cawangan TH di seluruh negara.

Ujarnya, TH amat menekankan kepentingan maklumat yang tepat dan terkini bagi urusan haji supaya dapat diatur dengan sebaiknya.

Rekod TH mendapati, terdapat 521 bakal haji dalam senarai giliran 1447/2026M tidak dapat dihubungi.

Mengulas lanjut Na’im berkata, langkah tersebut dijangka dapat mengurangkan jumlah jemaah yang tidak menjawab tawaran haji yang diberikan.

“Saya rasa, insya-Allah, jumlah mereka yang tak menjawab tawaran itu dapat kita kurangkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jemaah yang tidak mengemaskini maklumat atau telah berpindah, keputusan rasmi hanya akan diumumkan selepas segala maklumat dimuktamadkan.

“Perkara itu kita akan umumkan nanti, sama ada berlaku kenaikan (jumlah jemaah) atau kekal, kita akan maklumkan apabila tiba masanya,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa prinsip utama TH adalah untuk tidak menyusahkan atau membebankan jemaah dalam apa jua keputusan yang bakal dibuat.

“Prinsip Tabung Haji adalah tidak akan memudaratkan, menyusahkan atau membebankan jemaah-jemaah haji. Tabung Haji akan sentiasa mengambil inisiatif untuk membantu para jemaah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast