KUANTAN – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya memacu pelaburan direalisasi berjumlah RM5 bilion serta pelaburan komited RM3.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu membuktikan kedudukan Pahang sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan destinasi pelaburan berdaya saing.
“Pelaburan direalisasi ini mewakili 90 peratus daripada sasaran RM5.6 bilion ECERDC bagi tahun 2025, diterajui oleh sektor pembuatan (41 peratus), minyak dan gas (34 peratus) serta perkhidmatan (25 peratus).
“Secara keseluruhan, ia telah mewujudkan 2,846 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Pahang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini,
Sementara itu, pelaburan komited berjumlah RM3.9 bilion yang menumpu kepada sektor pembuatan merangkumi 95 peratus dan selebihnya sektor pertanian dijangka menghasilkan 3,185 peluang pekerjaan tambahan setelah direalisasikan sepenuhnya.
Tambah Wan Rosdy, pelaburan utama yang dimeterai ialah oleh PKNP Fire Phoenix Data Center, Sinolion Wheels Technology, Malaysian Solar Resources dan Lionphos Sdn. Bhd., melibatkan sektor pembuatan, teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI).
Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan penyerahan Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating kepada Jabatan Perikanan Pahang, yang menandakan kemajuan penting dalam bidang ekopelancongan dan pemuliharaan biodiversiti.
Pahang menyokong penuh usaha ECERDC dalam menjayakan pelaburan strategik bernilai tinggi yang sejajar dengan Aspirasi Pahang 1st demi pertumbuhan mampan, inovasi dan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat negeri ini. – MalaysiaGazette
















