KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari melontarkan cabaran kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya menayangkan temu ramah ringkas dalam Bahasa Melayu bersama tujuh pemain naturalisasi.
Menurut beliau, ia bagi bagi membuktikan kesemua pemain naturalisasi berkenaan benar-benar boleh berbahasa Melayu sekurang-kurangnya pada tahap asas.
Ini kerana, katanya, mana-mana individu yang ingin diberikan taraf kewarganegaraan secara naturalisasi wajib mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam Bahasa Melayu.
Tambah Ahmad Fadhli, beliau juga telah mendengar beberapa kali penjelasan berhubung pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain naturalisasi berkenaan di Dewan Rakyat hari ini yang mana Saifuddin Nasution dengan jelas merujuk kepada Perkara 20(1)(c).
Namun, setelah disemak peruntukan tersebut sebenarnya tidak lagi wujud atau dalam erti kata lain telah dimansuhkan.
“Persoalannya, siapakah yang telah menyediakan maklumat tersebut kepada YB Menteri? Semakin lama penjelasan ini diberikan, semakin kusut dan berbelit-belit jadinya. Apa pandangan anda?
“Isunya di sini, rakyat sedang mempersoalkan — adakah institusi kewarganegaraan negara kita masih selamat hari ini?” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Terdahulu, Saifuddin Nasution di Dewan Rakyat hari ini menjelaskan, KDN meluluskan permohonan tujuh pemain daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui jalur naturalisasi.
Menurutnya, keputusan dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu permohonan untuk menjadi warganegara yang datang daripada kerakyatan asing.
“Pemohon kena bermastautin di Malaysia dalam satu tempoh, berkelakuan baik dan pemahaman terhadap bahasa Melayu mencukupi. Bila kita semak, perkara itu dipatuhi,” kata Saifuddin Nasution seperti dilaporkan media.
Sebelum ini, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengemukakan bukti berhubung penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.
Dalam laporan rasmi yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, badan induk itu menjelaskan wujud percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal yang diperoleh FIFA dengan dokumen yang dikemukakan FAM bagi menyokong kelayakan pemain-pemain terbabit. – MalaysiaGazette
















