KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bangga dengan perjuangan dan pengorbanan wira serta wirawati negara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menurut Perdana Menteri, keberanian mereka mencipta sejarah buat negara apabila sanggup berjuang secara fizikal, bukan semata-mata berbicara dalam mendapatkan keadilan buat Palestin, khususnya penduduk Gaza.
Katanya, meskipun pada mulanya bimbang dengan misi tersebut khususnya berkenaan soal keselamatan aktivis berkenaan, namun beliau menghormati keazaman dan kecekalan mereka dan menggunakan pengaruh yang ada bagi memastikan keselamatan aktivis berkenaan.

Dalam masa sama, Anwar turut menyelar pihak-pihak yang memperlekehkan serta mempersoalkan usaha aktivis berkenaan belayar ke Gaza meskipun mengetahui bahaya yang menanti mereka apabila terpaksa berdepan dengan rejim Zionis.
“Manusia jenis apa kamu ini, kamu tak berani pergi, sepatutnya yang pergi ini kamu doakan, bukannya kamu hamun (hina) mereka.
“Orang yang sanggup bangkit dan berjuang sepatutnya kita tabik dan doakan, itu yang serendah-rendah kita mampu lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini malam ini.

Himpunan bagi menyuarakan solidariti dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin itu turut disertai seramai 23 wira dan wirawati yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.
Dianggarkan lebih 10,000 orang menghadiri himpunan itu yang turut bertujuan menyatakan sokongan kepada sembilan lagi rakyat Malaysia yang dalam misi kemanusiaan ke Gaza yang kini ditahan rejim Israel selepas kapal mereka dipintas tentera Zionis pagi ini.
Sementara itu, Anwar berkata, misi GSF juga disifatkan sangat berjaya apabila seluruh dunia kini membicarakan berkenaan misi tersebut, seterusnya membuka mata dan menyuntik lebih kesedaran terhadap perjuangan membela rakyat Palestin.

Jelasnya, misi itu menarik perhatian dunia di sebalik ratusan mesyuarat dan resolusi yang dibuat oleh badan-badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke arah penyelesaian konflik di Palestin.
“Pelayaran ini menggemparkan dunia, satu dunia bicara tentang mereka dan sekarang mereka diminta pula untuk mengatur misi yang seterusnya,” katanya. -MalaysiaGazette
















