Ahli keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mendengar rayuan kerajaan yang diperintah membayar ganti rugi lebih RM9 juta berhubung kematian model Mongolia itu. 9 OKTOBER 2025. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Rayuan kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda untuk mengetepikan perintah supaya membayar RM5 juta kepada keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada satu tarikh lain.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hashim Hamzah yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan K. Muniandy menetapkan 27 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh keputusan.

Mereka selesai mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd. Noor Nik Kar yang mewakili kerajaan dan peguam-peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Altantuya manakala Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar mewakili Abdul Razak.

Kerajaan dan Abdul Razak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Disember 2022 yang memerintahkan mereka membayar RM5 juta sebagai ganti rugi am dan teladan selepas membenarkan tuntutan saman keluarga itu terhadap empat pihak.

Selain kerajaan dan Abdul Razak, Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutuan) turut memerintahkan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar membayar ganti rugi sama.

Hakim juga memberikan faedah lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman, dikira dari tarikh pemfailan tuntutan mahkamah sehingga penyelesaian penuh, dan memerintahkan keempat-empat defendan membayar kos RM25,000 setiap seorang.

Pada prosiding hari ini, Azilah dan Sirul bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan.

Terdahulu, Nik Mohd. Noor ketika merayu terhadap tanggungan dan kuantum berhujah, hakim bicara terkhilaf kerana tidak membuat pembahagian tanggungan ketika memutuskan ganti rugi terhadap plaintif.

Hujah beliau, Azilah dan Sirul bukan dalam tugasan rasmi manakala tiada autoriti diberikan oleh kerajaan untuk membunuh Altantuya.

Hujah beliau berhubung kuantum, jumlah ganti rugi RM5 juta yang diberikan oleh hakim Mahkamah Tinggi terlalu tinggi dan pihaknya mencadangkan ganti rugi munasabah berjumlah RM1.38 juta diberikan kepada plaintif.

Katanya, hakim bicara tersalah arah dari segi undang-undang apabila gagal membezakan liabiliti peribadi setiap responden semasa memberikan ganti rugi sebaliknya memberikan ganti rugi secara global berjumlah RM5 juta kepada responden-responden.

Nik Mohd. Noor selanjutnya menghujahkan, tuntutan saman itu tidak memplidkan terhadap kehilangan harta, sebaliknya hanya menyentuh mengenai kehilangan tanggungan.

Katanya, keluarga model itu menyatakan Altantuya meninggal dunia ketika berumur 28 tahun dengan pendapatan bulanan RM6,000.

Bagaimanapun, perayu menghujahkan, tiada keterangan dikemukakan bagi membuktikan model itu berpendapatan RM6,000 melainkan hanya bekerja sambilan dan menanggung kos perubatan anaknya.

Sementara itu, Gurdial berhujah tiada bukti langsung menunjukkan responden ketiga, Abdul Razak telah mengarahkan responden pertama dan kedua, Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya.

Peguam bersamanya, Abraham Au, berhujah bahawa RM5 juta sebagai ganti rugi yang diberikan adalah tidak wajar.

“Sekiranya pengiraan kehilangan pendapatan telah mengambil kira dakwaan gaji bulanan Altantuya sebanyak RM6,000, jumlahnya akan berjumlah kira-kira RM1.5 juta, jauh lebih rendah daripada RM5 juta yang diberikan.

“Tiada asas undang-undang untuk hakim Mahkamah Tinggi memberikan jumlah sedemikian,” kata Abraham.

Sementara itu, Sangeet berhujah bahawa hakim bicara adalah betul dalam memberikan jumlah RM5 juta itu berdasarkan budi bicaranya dan panel rayuan tidak mengubah keputusan itu.

Pada asalnya, saman itu difailkan bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, pada 4 Jun 2007.

Bagaimanapun, Altanshagai meninggal dunia pada 2017 dan dikeluarkan daripada senarai plaintif.

Keluarga itu mendakwa, kematian model berkenaan pada 2006 menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, selain melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast