Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik persetujuan yang dicapai antara Gerakan Perjuangan Islam (Hamas) dan Israel bagi fasa pertama “Pelan Komprehensif bagi Menamatkan Konflik Gaza” yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trum di Sharm El-Sheikh, Mesir, semalam

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, Malaysia merakamkan penghargaan kepada Trump atas kepimpinan dan usaha beliau ke arah menamatkan perang terhadap Gaza.

Kementerian itu yang turut dikenali sebagai Wisma Putra menambah, Malaysia juga menghargai peranan penting Mesir, Qatar dan Turkiye serta negara-negara lain yang telah memudah cara pelaksanaan pelan komprehensif tersebut.

“Perkembangan ini merupakan langkah penting ke arah menamatkan pembunuhan beramai-ramai, kemusnahan dan kebuluran di Gaza, pertukaran tawanan dan tahanan, pengunduran sepenuhnya tentera Israel, serta pembinaan semula dan penzahiran hak penentuan nasib sendiri bagi rakyat Gaza,” katanya.

Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat untuk melaksanakan persetujuan tersebut dengan segera dan sepenuhnya.

“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa dalam usaha membawa keamanan ke Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki serta penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Israel dan Hamas bersetuju terhadap fasa pertama pelan damai untuk menghentikan pertempuran dan membebaskan tebusan di Gaza serta tahanan Palestin, sekali gus membawa harapan untuk menamatkan konflik selama dua tahun.

Hamas berkata, ia telah mencapai persetujuan untuk menamatkan perang di Gaza susulan rundingan berhubung pelan damai tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast