KEPALA BATAS – Suasana di kawasan Lahar Ikan Mati, di sini, hari ini bertukar gempar apabila mayat seorang lelaki ditemui terapung di dalam sebuah tali air.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Lutfi bin Abdullah, 54, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengangkat mayat.
Menurut Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, PBK II Mohamad Rodzi Mat Saad, pihaknya menerima panggilan bantuan daripada PDRM pada jam 1.05 petang, memohon bantuan untuk mengangkat mayat mangsa yang ditemui di dalam tali air berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi, kita menjalankan penilaian awal sebelum bertindak mengangkat mangsa menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap.
“Operasi dijalankan dengan berhati-hati dan mayat mangsa berjaya dikeluarkan serta diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.37 petang tanpa sebarang insiden lain dilaporkan,” katanya.
MalaysiaGazette difahamkan berdasarkan keadaan mayat yang sudah mengembung, mangsa telah berada di dalam tali air tersebut kira-kira dua hari sebelum ditemui.
Bagaimanapun, punca sebenar kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















