KUALA LUMPUR – Kaukus Parlimen Malaysia bagi Palestin menyifatkan pelan damai yang dipersetujui antara Hamas dan Israel sebagai peluang penting untuk menamatkan keganasan, penderitaan dan ketidakadilan yang dialami rakyat Palestin.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, persetujuan antara kedua-dua pihak itu juga selari dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibarhim sekali gus mengorak langkah ke arah keamanan yang berkekalan di rantau tersebut.
Menurut beliau, pihaknya menegaskan sokongan konsisten Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri dan keadilan serta memuji komitmen diplomatik Kerajaan Malaysia yang berterusan terhadap perjuangan tersebut.
“Kaukus turut menggesa agar Kerajaan terus terlibat secara aktif dalam semua usaha antarabangsa dan serantau bagi mencapai penyelesaian yang adil dan segera terhadap konflik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Israel dan Hamas bersetuju terhadap fasa pertama pelan damai untuk menghentikan pertempuran dan membebaskan tebusan di Gaza serta tahanan Palestin sekali gus membawa harapan untuk menamatkan konflik selama dua tahun.
Hamas berkata, ia telah mencapai persetujuan untuk menamatkan perang di Gaza susulan rundingan berhubung pelan damai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Sementara itu, Syed Ibrahim menambah, pihaknya mengalu-alukan penerimaan Hamas terhadap cadangan Trump sebagai langkah positif ke arah mencapai gencatan senjata menyeluruh di Gaza.
Jelasnya, perjanjian itu yang merupakan fasa pertama daripada cadangan gencatan senjata tersebut merangkumi penarikan balik pendudukan, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tahanan adalah langkah-langkah penting bagi memulihkan kestabilan dan meringankan penderitaan orang awam.
“Kaukus juga menyeru kedua-dua pihak khususnya Israel agar tidak mengambil tindakan yang boleh menggugat proses damai atau memanjangkan penderitaan orang awam,” katanya.
Tambah beliau, sebagai ahli Parlimen, kaukus itu berdiri teguh bersama semua usaha yang menjunjung prinsip keamanan, keadilan dan kemanusiaan.
Dalam masa sama, kaukus itu turut menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap rundingan damai yang sedang berlangsung dan hak sah rakyat Palestin. – MalaysiaGazette
















