Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama jemaah selepas menunaikan Solat Jumaat sebelum membentangkan Belanjawan 2026 ketika di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau, Presint 11, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 OKTOBER 2025.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau di Presint 11 bersama hampir 500 jemaah selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, pagi tadi.

Beliau tiba pukul 1.10 tengahari dengan mengenakan baju Melayu berwarna biru cair lengkap bersongkok, sebelum disambut mesra pengurusan masjid, para jemaah dan pelajar sekolah yang hadir lebih awal.

Solat Jumaat itu dipimpin oleh Imam, Ustaz Khairul Anuar Mohd Saruwan.

Anwar dan Jemaah mendengar khutbah yang bertauk “Lelaki Qawwam (sejati) Bukan Sekadar Nama”.

Intipati kuthbah antara lain mengingtkan lelaki sebagai pemimpin yang memimpin dengan iman, memikul amanah keluarga dengan adil dan takut kepada Allah, bukan dengan kuasa tetapi dengan kasih, tanggungjawab dan jiwa yang teguh.

Menurutnya, lelaki sejati ialah pemimpin yang adil, sabar dan berwibawa, yang memimpin keluarganya dengan iman, melindungi mereka dari maksiat serta menuntun mereka menuju redha dan syurga Allah.

“Lelaki beriman tidak membiarkan dosa bermaharajalela dalam keluarganya, kerana membisu atas maksiat bukan tanda kasih, tetapi hilangnya maruah dan takutlah menjadi antara yang dipalingkan wajahnya oleh Allah di akhirat kelak,” katanya.

Selesai solat, Perdana Menteri mengambil peluang beramah mesra dengan jemaah yang hadir sebelum beredar ke Kementerian Kewangan untuk membawa dokumen Belanjawan 2026 untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 petang ini.

Belanjawan 2026: “Memacu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat” dijangka menjadi penanda aras penting bagi kesinambungan dasar ekonomi MADANI, yang bukan sekadar menekankan angka fiskal, tetapi juga nilai kemanusiaan, tanggungjawab dan kesejahteraan rakyat.

Belanjawan Madani Keempat itu dibina atas usaha kerajaan memperkukuh tatakelola bagi menoktahkan ketirisan dan mengembalikan hasil penjimatan kepada rakyat terbanyak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast