KUALA LUMPUR – Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini bukan belanjawan untuk bermegah-megah atau menabur gula-gula politik.
Sebaliknya, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera, Norman Daud berkata, ia merupakan bajet yang perlu seimbang antara menjaga rakyat dan membaiki kedudukan kewangan negara.
Menurutnya, seperti yang sering disebut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerajaan hari ini tidak lagi boleh berbelanja sesuka hati seperti dahulu, dengan setiap sen wang kerajaan perlu dipastikan manfaatnya kepada rakyat.
Jelas beliau, tumpuan kerajaan ketika ini juga adalah untuk terus menurunkan defisit fiskal secara berperingkat tanpa menekan rakyat, yang bermaksud kerajaan perlu mengawal hutang, tapi bukan dengan memotong bantuan kepada golongan susah.
“Sebaliknya, perbelanjaan akan disusun semula supaya subsidi dan bantuan sampai kepada mereka yang betul-betul layak.
“Subsidi pukal yang selama ni banyak dinikmati golongan kaya akan disemak, dan penjimatan itu akan dipulangkan semula dalam bentuk bantuan tunai yang lebih tepat sasarannya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Selain itu, kata Nomran, Belanjawan 2026 juga dijangka kekal memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar seperti pembinaan infrastruktur jalan kampung, sekolah, bekalan air bersih dan klinik desa.
Ia jelas beliau, bagi memastikan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar semakin kecil.
Dalam masa sama, ujarnya, usahawan kecil, penjaja dan peniaga mikro juga diharapkan terus mendapat suntikan sokongan, sama ada dalam bentuk geran, latihan atau kemudahan digital supaya mereka boleh bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
“Hakikatnya, kerajaan hari ini sedang melakukan kerja yang ramai tak nampak, memulihkan ekonomi yang pernah rosak akibat krisis dan salah urus masa lalu.
“Ia bukan kerja sehari dua. Tapi kalau usaha ini diteruskan dengan disiplin dan ketelusan, rakyat akan mula rasa perubahan sedikit demi sedikit.
“Yang penting, kerajaan tak lagi menipu diri sendiri dengan bajet yang kelihatan “mewah” tapi sebenarnya berhutang untuk menampungnya,” kata beliau.
Tambahnya, Belanjawan 2026 juga bukan bajet populariti, tetapi merupakan bajet untuk pemulihan dan bajet untuk masa depan.
Jelas beliau, sekiranya rakyat memahami konteks itu, maka mereka akan mengetahui mengapa kerajaan hari ini perlu berhati-hati dan mengapa setiap keputusan kewangan mesti dibuat dengan tanggungjawab.
“Kita sudah lalui zaman di mana kerajaan berbelanja tanpa fikir beban hutang anak cucu.
“Sekarang masa untuk kita ubah cara supaya negara ini kembali stabil, ekonomi makin kukuh, dan rakyat tidak lagi hidup atas hutang yang diwarisi,” katanya. – MalaysiaGazette
















