Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 10 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi pendidikan percuma kepada 5,800 anak daripada keluarga miskin yang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam masa sama kerajaan bersetuju mengecualikan bayaran balik kepada semua mahasiswa yang memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan menengah.

Jelasnya, inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan lebih kurang 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.

“PTPTN lahir dari iltizam mengeluarkan anak bangsa dari kancah kemiskinan melalui pendidikan. Sejak penubuhan, PTPTN telah membuka jalan kepada jutaan mahasiswa menjejak kaki ke menara ilmu dan mengubah nasib keluarga,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa yang sama, Anwar berkata, kerajaan juga akan melaksanakan sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu bayar dan bekerja di luar negara, tetapi culas membuat bayaran balik.

Sementara itu, beliau mengumumkan penambahan 1,500 tempat bagi Ijazah Sarjana Muda dalam 10 bidang pengajian di lima universiti penyelidikan antaranya undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan (AI) serta bahasa.

Menurut Menteri Kewangan itu, ia bagi memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai anak muda cemerlang termasuk lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) melanjutkan pengajian di universiti penyelidikan.

Selain itu beliau menambah, kerajaan pada tahun depan akan melaksanakan dua projek kerjasama awam-swasta iaitu
Pembangunan Teknopolis Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya Health Metropolis.

“Selain untuk tujuan pembelajaran anak-anak, ini juga meningkatkan capaian kemudahan kesihatan moden untuk manfaat penduduk sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast